'Lahirmu Jumaat, pergimu jua Jumaat' - luahan sayu adik mangsa
Madiha Abdullah
September 14, 2015 16:45 MYT
September 14, 2015 16:45 MYT
Luahan adik kepada salah seorang mangsa tragedi kren runtuh di Mekah Jumaat lalu mendapat perhatian warga media sosial.
Amalludin Zolkifli, yang merupakan adik kepada Siti Nuroshlizan Zolkifli, meluahkan rasa sedihnya atas pemergian kakak sulungnya yang dipanggil Zae itu di laman Facebook miliknya.
Dalam status tersebut, Amalludin memberitahu kakaknya itu dilahirkan pada hari Jumaat, dan kembali menemui Pencipta juga pada hari yang penuh kemuliaan itu.
Dia turut memuat naik dua keping gambar Allahyarham Nuroshlizan, yang tampak seperti diambil pada hari dia berangkat ke Tanah Suci. Dalam gambar-gambar itu, Nuroshlizan kelihatan ceria dikelilingi ahli keluarga.
Amalludin juga mengimbas bagaimana kakaknya itu ingin membuat senarai semak untuk ahli keluarga sebelum pemergiannya.
Nuroshlizan, 37 tahun, dari Tanah Merah, Kelantan, merupakan salah seorang daripada lima rakyat Malaysia yang disahkan terkorban dalam kejadian itu.