Lahad Datu: Berhenti rendahkan maruah pasukan keselamatan negara - Pemuda UMNO

Astro Awani
September 21, 2020 14:30 MYT
Bastien menegaskan, ia sekali gus cubaan merendahkan maruah seluruh pasukan keselamatan yang mendedikasi seluruh khidmat mereka demi kedaulatan negara. - Gambar Astro AWANI
Mana-mana pemimpin tidak seharusnya mendakwa sebarang tragedi yang berlaku dalam negara terutama melibatkan pengorbanan pasukan keselamatan negara sebagai satu sandiwara.
Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn menegaskan, ia sekali gus cubaan merendahkan maruah seluruh pasukan keselamatan yang mendedikasi seluruh khidmat mereka demi kedaulatan negara.
"Ini merupakan satu penghinaan dan cubaan merendahkan maruah pasukan keselamatan tanah air yang berkorban nyawa bagi mempertahankan Sabah dan negara dari ancaman luar.
"Lahad Datu merupakan satu tragedi dan rakyat Sabah harus menolak calon-calon pilihan raya negeri atau mana-mana pemimpin yang menyatakan bahawa ia adalah sandiwara.
"Rakyat Sabah harus memikirkan masa depan mereka jika meletakkan tanggungjawab negeri kepada parti yang menganggap isu kedaulatan dan keselamatan sebagai bahan sandiwara," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
BACA: Saya kecewa Shafie cadang Malaysia berunding dengan FIlipina - Hishammuddin
BACA: Kronologi Ops Daulat
Terdahulu, Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi mendakwa pencerobohan Lahad Datu di Sabah pada 2013 sebagai suatu 'sandiwara'.
Berucap semasa kempen untuk calon Warisan baru-baru ini, Mohamaddin berkata, situasi itu dikatakan berlaku apabila kononnya UMNO akan kalah kepada PKR.
Jelasnya, pada masa itu terus berlaku perang dan ramai orang mati disebabkan kejadian berkenaan.
10 wira negara terkorban dalam Op Daulat semasa mempertahankan bumi Sabah daripada pencerobohan pengganas Sulu, termasuk serangan hendap di Tanduo, Lahad Datu dan Simunul, Semporna.
Tragedi itu turut menyaksikan sekurang-kurangnya 68 anggota pengganas Sulu berjaya ditembak mati.
BACA: Mohamaddin dakwa pencerobohan Lahad Datu suatu sandiwara
Dalam pada itu kata Bastien, keganjilan berlaku apabila seorang ketua menteri menyatakan kesediaan untuk berunding berhubung isu tuntutan Filipina ke atas negerinya sendiri.
"Jadi saya tidak pelik bila orang partinya sendiri memperlekehkan pengorbanan wira-wira negara.
Inilah sikap sebenar mereka yang tidak bertanggungjawab dan tidak cintaa kepada negeri sendiri.
"Adakah rakyat Sabah mahu menyerahkan nasib kepada orang yang mahu berunding dengn negara lain?
"Orang Sabah bukan pengecut dan pengkhianat. Mereka adalah rakyat yang berani dan setia. Filipina adalah 'failed state' dan apa sebabnya Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal hendak bawa Sabah ke sana?" soalnya.
Sebelum ini, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melahirkan rasa kecewa dengan cadangan Shafie yang mencadangkan agar Kerajaan Malaysia berunding dengan Kerajaan Filipina.
Menteri Luar itu menegaskan, tuntutan Filipina bukan sahaja tidak berasas, malah langsung tidak relevan dengan Malaysia.
#bastien onn #Lahad Datu #Mohamaddin Ketapi #pelancongan #pengganas #PKR #Sabah #Semporna #Sulu #UMNO
;