Lagu Asfan, Perkeso juara IMFP di Kanada
Bernama
September 25, 2021 09:32 MYT
September 25, 2021 09:32 MYT
KUALA LUMPUR: Lagu runut bunyi filem 'Warkah" berjudul 'Sifar' terbitan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dinobatkan sebagai juara dalam kategori Music is Key di International Media Festival for Prevention (IMFP) di Toronto, Kanada, kelmarin.
Single hasil kolaborasi Perkeso bersama komposer Asfan Shah, Lady D, Tripdisz dan Kmy Kmo itu menjuarai satu daripada enam kategori dipertandingkan pada IMFP sekali gus menewaskan 288 penyertaan dari 40 negara di seluruh dunia.
Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Perkeso Dr Azlan Darus berkata lagu tersebut menyelitkan elemen Vision Zero iaitu usaha pencegahan menggabungkan aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan yang diperkenalkan Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).
"Jika dibandingkan dengan peserta lain, kekuatan lagu Sifar ini terletak pada liriknya yang menggabungkan elemen keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan di tempat kerja serta konsep lagu bergenre kontemporari sesuai dengan pendengar khususnya generasi muda.
"Ini kali ketiga kita hantar penyertaan dan kemenangan kedua dalam kategori berbeza selepas menang buat kali pertama pada 2014 di Jerman serta tempat ketiga pada 2011 (Turki)," katanya pada sidang media secara maya, pada Jumaat.
Lagu Sifar yang membawa pulang sijil serta trofi, bakal dijadikan medium promosi program Perkeso selain platform mendidik orang awam mengenai kepentingan keselamatan dan perlindungan sosial dan pekerja.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammad Azman Aziz Mohammed menyifatkan kemenangan itu sebagai hadiah untuk rakyat Malaysia sempena Hari Kebangsaan ke-64 dan Hari Malaysia baru-baru ini.
Ini adalah pengiktirafan kepada kerja keras Perkeso melalui pelbagai cara demi meningkatkan pemahaman serta kesedaran rakyat mengenai kepentingan jaringan keselamatan sosial dalam melindungi mereka dan keluarga tersayang, katanya.
Bagi penyanyi dan penulis lirik Asfan Shah, beliau mengakui proses mencipta lagu itu agak mencabar kerana mempunyai tema yang spesifik iaitu kesedaran keselamatan sosial, berbanding dengan lagu lain yang pernah dihasilkannya sebelum ini.
"Saya amat teruja kerana pertama kali menghasilkan lagu untuk agensi kerajaan yang membawa tema kempen kesedaran. Penggunaan perkataan yang mudah difahami dan sesuai dalam lagu adalah penting.
"Ilham dan inspirasi penulisan lagu bersama Lady D dan Kmy ini juga berdasarkan filem Warkah terbitan Perkeso pada 2019 dan ditambah elemen rap yang menjadi kekuatan untuk lagu ini menjadi juara," katanya.
Lagu Sifar nyanyian Asfan, Kmy dan Tripdisz yang dilancarkan sejak 2019 itu boleh distrim di Youtube dan sehingga kini mendapat lebih 700,000 tontonan di platform tersebut.
-- BERNAMA