Lagi tragedi Hari Raya pertama, enam cedera tiga kereta bertembung
Abd Razak Mohd Ali
Jun 5, 2019 05:26 MYT
Jun 5, 2019 05:26 MYT
Walau pelbagai kempen keselamatan jalan raya dianjurkan agensi penguatkuasaan, namun kemalangan bagai tidak ada noktahnya.
Bermula awal pagi Syawal, hingga hampir penghunjung hari pertama, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak bertungkus lumus menyelamatkan mangsa kemalangan.
Terbaharu, enam orang cedera dalam kemalangan yang melibatkan tiga buah kereta di Jalan Taiping - Kuala Kangsar, berhampiran Bukit Gantang, di sini.
Menurut jurucakap JBPM Negeri Perak, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 9.09 Rabu malam.
“Setibanya ditempat kejadian, anggota mendapati kemalangan melibatkan tiga buah kereta bertembung dan terdapat enam mangsa dilokasi.
“Kesemua mangsa dikeluarkan oleh anggota dan dibantu oleh orang awam, kemudian menghantar mereka ke hospital menggunakan EMRS dan ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.
Mangsa terdiri daripada dua lelaki dan empat perempuan, seorang daripadanya kanak-kanak perempuan.