Lagi terpalit kontroversi, Neelofa beri penjelasan 4 orang 1 kereta
Harits Asyraf Hasnan
Mei 24, 2021 17:21 MYT
Mei 24, 2021 17:21 MYT
KUALA LUMPUR: Selebriti Noor Neelofa Mohd Noor, terus dipalit kontroversi dengan dakwaan terbaharu melibatkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Warganet mendakwa terdapat empat orang di dalam kenderaan yang dinaiki Neelofa selepas beliau selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada Isnin.
Berdasarkan PKP 3.0, hanya tiga individu sahaja dibenarkan dalam satu kenderaan.
Bagaimanapun, Neelofa tampil dengan satu kenyataan penjelasan di media sosialnya.
"Kami hanya menumpangkan beliau dari balai polis ke mahkamah bersebelahan, dengan jarak sekitar 50 meter.
"Kenderaan peguam saya diletakkan di ruangan parkir mahkamah. Saya dan peguam tidak hadir ke IPD Seremban dengan menaiki kenderaan sama.
Dakwaan Langgar SOP | Neelofa selesai beri keterangan di IPD Seremban
"Kami telah menghubungi pihak IPD Seremban dan mereka sedia maklum tentang perkara ini," jelas beliau.
Menurutnya, beliau dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz menaiki kenderaan sendiri dengan dipandu pemandunya untuk pulang ke Kuala Lumpur.
Sementara, peguamnya pula pulang dengan memandu kenderaan sendiri.
"Polis boleh meneliti semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kami menguruskan peguam di pekarangan mahkamah atau dari luar balai polis.
"Diharapkan ini dapat menjelaskan perkara yang berlaku selain mengelakkan salah faham," kata Neelofa.
#perintah kawalan pergerakan
#operasi
#Neelofa langgar SOP
#4 orang dalam kereta Neelofa
#Seremban
#IPD Seremban
#PKP
#SOP
#CCTV
#mahkamah
#polis