Lagi tanah runtuh hempap rumah penduduk di Ajil
Sinar Harian
November 30, 2024 13:10 MYT
November 30, 2024 13:10 MYT
HULU TERENGGANU: Sebuah keluarga di Kampung Baru Ajil di sini terpaksa berpindah selepas sebahagian rumah dihempap tanah runtuh dalam kejadian petang Jumaat.
Ringkasan AI
- Sebuah keluarga di Kampung Baru Ajil terpaksa berpindah selepas rumah mereka dihempap tanah runtuh pada petang Jumaat. Mereka kini tinggal sementara di rumah sewa.
- Ini adalah kali kedua kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan rumah Mohd Fauzi Rani, selepas insiden serupa tiga tahun lalu yang menyebabkan beberapa pokok tumbang.
- Dalam kejadian tanah runtuh yang sama, dua beradik maut di Kampung Bukit Apit, sementara seorang lagi mangsa ditemui selamat di bawah runtuhan dinding konkrit.
Mohd Fauzi Rani, 66, berkata, insiden menimpa rumahnya berlaku dalam tempoh sama dengan tragedi tanah runtuh yang menyebabkan dua beradik maut di Kampung Bukit Apit di sini.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika dia enam beranak berada di ruang tamu rumah berkenaan.
"Waktu duduk di ruang tamu saya perasan ada aliran air masuk ke dalam rumah sebelum terdengar bunyi kuat dari luar.
"Bila saya keluar tengok tiang serambi rumah sudah patah ditimpa runtuhan. Waktu itu masih ada pergerakan tanah dan kami sekeluarga cepat-cepat keluar untuk menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini malam Jumaat.
Mohd Fauzi yang juga seorang mekanik memberitahu, kejadian itu kali kedua berlaku selepas beberapa pokok bersebelahan rumahnya tumbang akibat kejadian sama tiga tahun lalu.
"Sebelum ini hanya beberapa bongkah batu menimpa sebahagian kecil rumah, kali ini saya gusar sebab rumah yang dalam proses ubah suai ini ditimpa runtuhan tanah
"Dalam jam 8 malam tadi saya terpaksa alihkan kereta pelanggan ke tepi jalan kerana takut ditimpa runtuhan," jelasnya.
Bapa lima anak itu berkata, dia kini terpaksa tinggal sementara di rumah sewa sementara menunggu keadaan kembali pulih dan selamat.
"Buat masa ini saya sekeluarga sudah tidak berani masuk ke dalam rumah.
"Syukurlah sebab kami sekeluarga jumpa sebuah rumah sewa dekat sini untuk bermalam buat sementara waktu," katanya yang tinggal di situ sejak 30 tahun lalu.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan tiga mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh dekat Kampung Bukit Apit di sini kira-kira jam 4.30 petang Jumaat.
Mangsa pertama, Uzair Azman, 17, ditemui selamat di bawah runtuhan dinding konkrit di ruang tamu rumah, jam 5.17 petang.
Mayat Puteri Sajidah ditemui jam 6.32 petang dan adiknya, Siti Fatimah pula ditemui jam 6.59 petang, dalam keadaan tertimbus di bawah runtuhan. -Sinar Harian