Lagi perutusan tahniah untuk Anwar, termasuk daripada diplomat Arab di Kuala Lumpur
Bernama
November 29, 2022 16:17 MYT
November 29, 2022 16:17 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menerus menerima perutusan tahniah, dengan Kor Diplomatik Arab di Malaysia serta Perdana Menteri Yaman dan Somalia turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Malaysia yang baru dilantik.
Dekan Kor Diplomatik Arab di Malaysia, Dr Adel Mohamed Ali Ba Hamid berharap Anwar akan memainkan peranan yang membina dalam membangunkan hubungan persaudaraan dan kerjasama yang berakar umbi dengan negara majoriti Islam dalam bidang kepentingan bersama.
Dr Adel yang juga Duta Besar Republik Yaman berkata, beliau yakin Anwar, 75, akan berjaya mengemudi kerajaan perpaduannya hingga akhir penggalnya.
"Bagi pihak Kor Diplomatik Arab di Malaysia dan bagi pihak saya sendiri, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama (Anwar) di atas kejayaan beliau dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 di Malaysia dan pelantikan Tuan Yang Terutama (Anwar) oleh Yang Di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
"Doa ikhlas kami kepada Allah (SWT) untuk mengurniakan Tuan Yang Terutama kesihatan yang baik, kesejahteraan dan kejayaan, dan untuk kemajuan berterusan, pertumbuhan dan kemakmuran Malaysia," katanya dalam satu kenyataan yang disediakan kepada Bernama melalui Majlis Duta Arab Kuala Lumpur.
Sementara itu, Perdana Menteri Yaman, Dr Maeen Abdulmalik Saeed dan Perdana Menteri Somalia, Hamza Abdi Barre turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Anwar dan mendoakan kemajuan Malaysia.
Dalam perutusannya, Dr Maeen juga menyuarakan harapannya agar hubungan persaudaraan antara Yaman dan Malaysia akan terus kukuh, termasuk dalam hubungan dua hala dalam pelbagai bidang kepentingan bersama.
Rakan sejawatannya dari Somalia, Barre yakin di bawah kepimpinan Anwar, hubungan mesra sedia ada antara Mogadishu dan Kuala Lumpur akan berkembang dan memproleh kekuatan serta memberi manfaat bersama untuk rakyat.
Barre, graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata, Somalia dan Malaysia berkongsi hubungan yang terjalin lama dan substantif yang diperkukuh oleh hubungan bersejarah yang utuh serta kerjasama perdagangan dan kebudayaan yang teguh.
"Kami amat mementingkan pembangunan hubungan bagi memperkukuh dan meningkatkan tahap kerjasama dua hala dan mengembangkannya dalam bidang baharu dan baru muncul," katanya. - BERNAMA