Lagi pemandu mabuk: Lelaki pergi ke kedai parah dirempuh

Salim Aziz
Jun 1, 2020 09:48 MYT
Polis menahan reman suspek untuk siasatan lanjut kerana memandu dalam keadaan mabuk.
Seorang lelaki mengalami kecederaan parah termasuk retak tempurung kepala selepas dirempuh pemandu warga emas yang mabuk di Jalan Raja Syed Saffi dekat Bintong, Kangar, malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, dalam kejadian jam 10 malam itu, suspek yang berusia 63 tahun dikatakan dalam perjalanan ke rumahnya di Taman Bunga Padi di sini.
"Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, suspek hilang kawalan terhadap keretanya dan terbabas sehingga merempuh mangsa yang ketika itu menunggang motosikal.
"Dia turut merempuh sebuah lori yang diparkir di bahu jalan," katanya di sini pada Isnin.
Difahamkan, mangsa yang berusia 41 tahun sebelum itu dalam perjalanan ke kedai runcit berhampiran rumahnya.
BACA: Pekerja kontrak maut dirempuh pemandu mabuk
Kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah untuk rawatan, namun Wari berkata, suspek kemudian melarikan diri namun berjaya ditahan semula sejam kemudian.
Katanya, ujian mendapati dia memandu dengan kandungan alkohol dalam badan melebihi had yang dibenarkan.
Beliau berkata, suspek direman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#alkhohol #cedera parah #disiasat #Kangar #kerana memandu mabuk #langgar orang #mabuk #pemandu ditahan #Perlis #warga emas mabuk
;