Lagi MB, Exco, ADUN sumbang gaji kepada tabung COVID-19
Astro Awani
Jun 3, 2021 21:18 MYT
Jun 3, 2021 21:18 MYT
KUALA LUMPUR: Lebih ramai pemimpin di peringkat negeri termasuk Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri tampil menyumbangkan gaji mereka kepada tabung COVID-19 demi untuk membantu rakyat yang terjejas.
Di ALOR SETAR, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, hari ini mengumumkan beliau bersama 10 Exco kerajaan negeri, menyumbangkan sebulan gaji kepada Tabung Amanah COVID-19.
Beliau berkata, pemotongan itu melibatkan pembayaran gaji bulan Jun, yang akan disumbangkan kepada tabung ditubuhkan kerajaan negeri.
Sementara itu, di GEORGE TOWN, 29 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersetuju untuk menyumbangkan 30 peratus gaji bulan Jun kepada Tabung COVID-19 Pulau Pinang.
Selain itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang, akan menyumbang sebulan gajinya kepada tabung berkenaan.
Semalam, barisan Exco kerajaan negeri turut mengumumkan langkah sama.
Di IPOH, sembilan ADUN Perikatan Nasional (PN) bersetuju membuat pemotongan gaji sebanyak 50 peratus selama tiga bulan untuk Tabung Bencana COVID-19.
Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan, berkata langkah itu bagi meringankan masalah rakyat yang terkesan dengan penularan COVID-19.
Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dan 10 Exco bersetuju menyumbangkan gaji masing-masing selama tiga bulan kepada tabung berkenaan.