Lagi kucing dianiaya, diseret tengah jalan

Rahimah Abdullah
Julai 22, 2020 13:51 MYT
Video berdurasi 17 saat itu turut mendapat kecaman netizen di media sosial. - Sumber: Facebook Persatuan Haiwan Malaysia
LAGI dakwaan penganiayaan terhadap kucing.
Ia susulan video terbaharu yang dikongsi di laman sosial Facebook, Persatuan Haiwan Malaysia - Malaysia Animal Association yang mendedahkan video seekor kucing diseret di jalan raya oleh seorang lelaki menaiki basikal.
Video berdurasi 17 saat itu turut mendapat kecaman netizen di media sosial.
Rakaman video pendek berkenaan dirakam seorang pemandu kereta yang secara kebetulan ternampak seorang lelaki mengayuh basikal sambil menyeret kucing menggunakan tali yang diikat pada leher.
Menurut persatuan itu, kejadian berlaku di Jeti Sungai Udang, Perak.
Susulan itu, Persatuan Haiwan Malaysia menuntut pihak kerajaan menambah baik jenis hukuman dalam Akta Kebajikan Haiwan 2015 dengan memasukkan hukuman sebatan mandatori terhadap pelaku keganasan haiwan yang menzalimi haiwan hingga mati atau cedera.
"Diharapkan tidak ada golongan membela keganasan haiwan dengan menjadikan alasan pelaku adalah gila. Biarlah mahkamah menentukan keputusan apabila ada keraguan munasabah status mental pelaku," katanya dalam status yang dimuatnaik di Facebook hari ini.
Saksi kejadian juga difahamkan telah membuat laporan polis terhadap pelaku berkenaan.
#cedera #Facebook #keganasan #kerajaan #kereta #laman sosial #lelaki #mahkamah #Malaysia #mati #Media #media sosial #polis #video
;