Lagi kilang biskut di Taiping diserbu KPDN, guna logo halal tidak sah

Aida Aziz
Julai 5, 2024 15:10 MYT
Kilang berkenaan mengeluarkan produk makanan biskut serta menggunakan logo halal pada bungkusan produk dan diedarkan untuk jualan sekitar Semenanjung Malaysia dan Sabah. - Gambar/ KPDN
IPOH: Sebuah kilang biskut di sini diserbu setelah dipercayai menggunakan sijil halal tidak sah bagi tujuan perdagangan dan jualan di pasaran.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail, serbuan itu dilakukan pada Khamis sekitar jam 10 pagi oleh penguat kuasa KPDN cawangan Taiping.
"Operasi itu susulan hasil pemeriksaan harian yang dilakukan ke atas premis pengeluaran produk makanan yang menggunakan logo halal.
"Serbuan mendapati kilang berkenaan mengeluarkan produk makanan biskut serta menggunakan logo halal pada bungkusan produk dan diedarkan untuk jualan sekitar Semenanjung Malaysia dan Sabah.
"Pemeriksaan lanjut ke atas pemilik kilang mendapati sijil halal yang dimiliki telah tamat tempoh dan tidak diperbaharui," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Sehubungan itu, katanya, tindakan kes telah diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Selain itu, 940 bungkusan biskut pelbagai jenis dan 1,800 pelekat serta bungkusan yang menggunakan logo halal tidak sah telah disita.
"Nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM2,422.80.
"Kes disiasat di bawah Perintah 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal," katanya lagi.
Ujarnya, KPDN memandang serius peniaga yang menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau barangan keluaran yang melanggar undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.
Masyarakat juga disaran menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa bagi menyalurkan maklumat berhubung produk makanan yang dicurigai status penandaan logo halal.
Baru-baru ini, KPDN Perak turut menyerbu sebuah kilang memproses biskut di Taiping kerana menggunakan logo halal tidak sah bagi tujuan perdagangan.
Siasatan mendapati, satu produk biskut yang dikilangkan dan ditawarkan untuk jualan di premis berkenaan tiada dalam senarai sijil halal yang diperoleh kilang berkenaan.
#sijil halal #kilang biskut #Taiping #kpdn
;