Lagi kes pemandu mabuk, kali ini hampir rempuh sekatan jalan raya
Adie Sufian Zulkefli
Mei 28, 2020 11:55 MYT
Mei 28, 2020 11:55 MYT
Seorang lelaki dipercayai mabuk nyaris merempuh sekatan jalan raya oleh polis di Kilometer 40.8 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Hutan Kampung, pada malam Rabu.
Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, suspek berusia 58 tahun yang memandu Proton Saga FLX dipercayai dalam perjalanan dari arah utara menuju ke Pulau Pinang.
Bagaimanapun kereta dipandu suspek yang dipercayai menetap di Butterworth, terbabas sebelum melanggar tali penghadang jalan berhampiran sekatan jalan raya di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata pemeriksaan polis kemudian mendapati paras alkohol dalam tubuhnya agak tinggi.
"Kita melakukan dua pemeriksaan kandungan alkohol terhadap suspek sebelum dia ditahan dan dibawa ke Balai Polis Alor Setar untuk siasatan lanjut," katanya di sini, malam Rabu.
Katanya, lelaki terbabit turut dipercayai melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan merentas sempadan negeri tanpa dokumen kerja atau surat kebenaran polis.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.