Lagi kes lelaki maut dibaham harimau
Sinar Harian
Oktober 17, 2024 18:48 MYT
Oktober 17, 2024 18:48 MYT
JELI: Seorang lelaki warga Myanmar ditemukan maut disyaki dibaham harimau berdekatan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Jeli-Gerik, Batu Melintang di sini pada Khamis.
Mangsa ditemukan dengan kesan kecederaan gigitan di leher, rahang bahagian kiri dan kanan, kesan cakar di belakang badan serta dada.
Selain itu paha kiri mangsa juga putus manakala tulang dan kaki kiri berada di sebelah badan mangsa.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Saari Yaakob berkata, mayat lelaki itu ditemui rakannya kira-kira jam 9.15 pagi.
Menurut beliau, lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai dibaham harimau ketika berada di belakang rumah kongsi dalam hutan berhampiran sebuah ladang cili.
"Mangsa disedari hilang kira-kira jam 8.30 malam selepas rakannya mendengar ngauman harimau berdekatan ladang tempat mereka bekerja," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Saari berkata, selepas menemui mayat mangsa, rakannya membuat laporan di Balai Polis Batu Melintang sebelum sepasukan anggota polis diketuai beliau pergi ke lokasi terbabit dibantu tujuh anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta lima penduduk.
"Siasatan mendapati mangsa berada kira-kira 300 meter dari rumah kongsi dan laluan ke lokasi perlu melalui jalan berbukit, sungai dan kebun sayur," katanya.
Saari memberitahu, berdasarkan kesan corak darah sepanjang laluan, mangsa dipercayai cuba melepaskan diri beberapa kali namun gagal.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Jeli untuk bedah siasat, lapor Sinar Harian.
Ini adalah serangan harimau kedua dalam tempoh tiga hari, dengan kejadian pada Selasa lalu membabitkan seorang lelaki berusia 54 tahun maut dibaham berhampiran sebuah rumah kongsi di Kilometer 79.2 JRTB Gerik-Jeli, di Gerik.
Mayat mangsa ditemui sekitar 100 meter dari rumah kongsi yang didiami bersama isterinya, seorang warga Thailand.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kejadian dipercayai berlaku antara pukul 5 hingga 6 pagi, ketika mangsa dikatakan hendak ke tandas.