Lagi kemalangan libatkan bas Rapid KL
Sinar Harian
Oktober 10, 2018 14:37 MYT
Oktober 10, 2018 14:37 MYT
Dua pemandu cedera selepas terbabit kemalangan dengan sebuah bas Rapid KL, di Jalan Raja Chulan, Taman Eko Rimba di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian pada jam 8.20 pagi, bas dalam perjalanan dari Pandan Indah ke pusat bandar raya itu dipercayai terlanggar pembahagi jalan sebelum terlibat kemalangan dengan tiga kenderaan lain.
Rapid KL dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian itu menyebabkan dua pemandu kereta persendirian mengalami kecederaan ringan.
"Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan ambulans.
"Manakala tiada kecederaan dilaporkan membabitkan enam penumpang yang berada dalam bas ketika insiden berlaku ,"katanya.
Dalam pada itu Rapid KL memaklumkan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis berhubung siasatan insiden kemalangan melibatkan bas Rapid KL itu.
Laporan polis berhubung kejadian sudah dibuat di Balai Polis Trafik, Jalan Bandar namun punca kejadian masih dalam siasatan.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar sebuah sebuah bas Rapid KL terlanggar pembahagi jalan sebelum berlanggar dengan tiga kenderaan lain.
Turut tular rakaman video orang ramai membantu mengeluarkan mangsa tersepit yang berada dalam kenderaan milik persendirian.