Lagi kejadian feri Langkawi terkandas di Kuala Kedah
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 28, 2022 20:13 MYT
Oktober 28, 2022 20:13 MYT
ALOR SETAR: Kejadian feri penumpang terkandas di perairan berhampiran Terminal Feri Kuala Kedah di sini, berlaku sekali lagi, hari ini.
Kali ini feri membawa 133 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi terkandas apabila kipasnya tersangkut pada tali sauh kapal berhampiran terminal itu sekitar jam 4 petang.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan daripada bahagian operasi memaklumkan feri yang baru keluar dari jeti itu terkandas.
Beliau berkata, pihaknya segera menggerakkan operasi memindahkan kesemua penumpang ke feri ganti dengan bantuan bot nelayan serta pasukan penyelamat dan proses itu selesai jam 6.30 petang.
"Pihak syarikat memohon maaf kepada semua penumpang kerana tidak dapat meneruskan perjalanan ke Langkawi hari ini disebabkan air laut semakin surut.
"Petang tadi, air laut berada pada paras ketinggian 2.1 meter dan air pasang semula pada jam 12 tengah malam ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Menurut Baharin, semua penumpang feri akan ditempatkan di hotel sekitar Alor Setar dan kos akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat berkenaan.
Katanya, semua penumpang dijangka akan meneruskan perjalanan ke Langkawi pada jam 2 petang esok.
Pada Ahad, Astro AWANI melaporkan, feri yang membawa 547 penumpang dan kru dari Langkawi ke Kuala Kedah terkadas di muara Kuala Kedah akibat kapten feri cuba mengelak tali sauh sebuah kapal yang ketika itu memasuki laluan feri.