Lagi kasanova laman sosial aniaya teman wanita, larikan RM65,000
Bernama
April 30, 2015 07:53 MYT
April 30, 2015 07:53 MYT
Seorang kasanova laman sosial berumur 21 tahun menipu dan mengugut kenalannya sehingga menyebabkan kerugian wang tunai sebanyak RM65,000 dalam kejadian di Taman Setapak Jaya sejak 21 April.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata suspek dikenali sebagai Kong Hou Woon, No kad pengenalan: 940612-01-6629 dan alamat terakhirnya No. 11, Jalan Cantik 2, Taman Cantik, 86200 Simpang Rengam, Johor.
Suspek dan mangsa yang berusia 20 tahun mula berkenalan melalui laman sosial WeChat sejak bulan lepas.
"Dalam kejadian pertama, pada 10 pagi 21 April itu, suspek datang ke rumah mangsa di Taman Setapak Jaya dan mengugut mangsa dengan sebatang besi hitam sebelum meminta mangsa menyerahkan sejumlah RM30,000.
"Suspek mengugut jika mangsa enggan berbuat demikian, dia akan bertindak menyebarkan gambar separuh bogelnya ke dalam internet. Mangsa yang takut, kemudiannya pergi ke bank sebelum mengeluarkan duit itu dan menyerahkan kepada suspek," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di
sini, hari ini.
Mohamad Roy berkata keesokannya, suspek sekali lagi pergi ke rumah mangsa dan meminta wang RM35,000 lagi dengan menggunakan taktik yang sama bagi menakutkan mangsa.
Hasil maklumat daripada mangsa, siasatan polis mendapati suspek pernah menipu kenalan lain di laman sosial sebelum ini.
Selain itu, suspek juga dikehendaki polis dalam dua kes di Johor iaitu di Taman Pelangi dan Kulai.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu menghubungi Insp Fakrul Razi Mohd Sayuti di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222.