Lagi individu ditahan SPRM berhubung rasuah, salah guna kuasa REE di Kedah

Umavathi Ramayah
Julai 21, 2023 12:00 MYT
Suspek berusia 50-an itu ditahan selepas memberi keterangan kira-kira pukul 10 malam Khamis di ibu pejabat SPRM Putrajaya, pada Khamis.
PUTRAJAYA: Seorang pembantu kepada pemilik sebuah syarikat ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.
Menurut sumber, lelaki yang berusia 50-an itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 10 malam Khamis di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Perintah reman selama empat hari bermula Jumaat sehingga 24 Julai telah dikeluarkan oleh Majistret M Mageshwary selepas SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini.
Di mahkamah majistret yang sama, SPRM turut mendapat kebenaran untuk menyambung reman seorang lagi suspek wanita yang juga pengarah syarikat selama dua hari hingga Ahad ini.
Sumber berkata, wanita tersebut sebelum ini direman selama tiga hari sehingga hari ini manakala Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang turut direman telah dibebaskan pagi ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.
#SPRM #siasatan REE #Perbadanan Menteri Besar #Kedah