Lagi ibu lapor anak jadi mangsa dera pengasuh sama
Aida Aziz
Februari 1, 2019 20:27 MYT
Februari 1, 2019 20:27 MYT
Seorang lagi pengadu tampil membuat laporan polis terhadap pengasuh yang dipercayai mengakibatkan kematian bayi lelaki berusia 9 bulan, Muhammad Firaz Danial Muhammad Nizar di Manjung, baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC Yahya Abd. Rahman berkata, pengadu berusia 26 tahun itu menghantar anak lelakinya berusia 9 bulan kepada pengasuh yang sama.
Bagaimanapun, dia berhenti dari mendapatkan khidmat pengasuh berusia 28 tahun itu, setelah mendapati ada beberapa kesan bengkak di kepala dan telinga anaknya selama sembilan bulan di bawah jagaannya.
Sementara itu, katanya lagi siasatan lanjut terhadap kematian Muhammad Firaz Danial mendapati ada kesan darah beku di dua bahagian kepala mangsa.
“Daripada bedah siasat dan rawatan doktor, perkara itu tidak boleh berlaku melainkan bayi itu digoncang dengan begitu kuat menyebabkan otak dia bergegar.
“Sebab itu kita menyiasat di bawah seksyen yang melibatkan kematian kanak-kanak dan lebih maklumat terbaru ini ada satu keluarga lagi telah membuat laporan polis anak dia pun ada kesan penderaan setelah dihantar kepada pengasuh yang sama.
“Namun, apabila keluarga budak ini dapat tahu anak orang lain meninggal, baru dia buat laporan yang sebenarnya anak dia telah mendapat kecederaan di rumah penjaga yang sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Ipoh pada Jumaat.
Muhammad Firaz Danial meninggal dunia selepas sehari berada di unit rawatan rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh setelah mengalami pendarahan dalam kepala dipercayai akibat gegaran kuat.