Lagi harimau belang mati dilanggar
Sinar Harian
Mei 16, 2024 12:20 MYT
Mei 16, 2024 12:20 MYT
KUANTAN: Seekor harimau belang jantan dewasa dilaporkan mati akibat dilanggar kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Kilometer 50.8 arah Kuala Lumpur pada Khamis.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin mengesahkan perkara itu dan memaklumkan kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 1.23 pagi.
"Harimau jantan itu dianggarkan seberat 130 kilogram dan berusia empat tahun berdasarkan saiz tubuh haiwan berkenaan.
"Berdasarkan jangkaan awal, haiwan itu (dipercayai) dari Hutan Simpan Bukit Tinggi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau memberitahu bangkai harimau belang itu sudah diambil oleh pihaknya awal pagi Khamis bagi tindakan selanjutnya.
Sebelum itu, tular satu rakaman berdurasi 28 saat di laman sosial berhubung penemuan bangkai harimau yang dipercayai dirempuh kenderaan.
Kejadian tersebut tular menerusi perkongsian video dirakam oleh pengguna yang melalui jalan tersebut ketika insiden berlaku. - Sinar Harian