Lagi cubaan seludup masuk ayam sejuk beku di Bukit Kayu Hitam
Adie Sufian Zulkefli
Januari 28, 2021 20:23 MYT
Januari 28, 2021 20:23 MYT
BUKIT KAYU HITAM: Lagi cubaan menyeludup ayam masuk sejuk beku yang diragui status halal dari Thailand dikesan di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
Dalam penemuan petang tadi, sebanyak 31 tan ayam sejuk beku dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
Ini adalah rampasan kali kedua di lokasi sama minggu ini selepas MAQIS merampas 61.9 tan ayam sejuk beku dianggarkan bernilai RM495,608 pada Isnin lalu.
Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind Paul berkata, sebuah lori kontena ditahan kira-kira jam 2.20 petang membawa ayam yang sudah dipotong dan diisi ke dalam 2,600 kotak dianggarkan bernilai lebih RM187,000.
"Hasil pemeriksaan mendapati ayam sejuk beku itu cuba dibawa masuk tanpa mematuhi syarat import selain dipercayai dibawa dari pusat penyembelihan tidak diiktiraf serta meragukan.
"Pemandu lori terbabit gagal mengemukakan maklumat berkaitan sekali gus didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, MAQIS komited dalam memastikan produk pertanian dan makanan yang diimport terpelihara terutama membabitkan aspek halal.
Katanya, MAQIS tidak akan memandang mudah perkara ini dan sentiasa komited memastikan keluaran pertanian diimport bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar bagi memastikan sektor pertanian negara tidak terjejas.
#ayam sejuk beku
#seludup
#Malaysia
#ICQS
#Bukit Kayu Hitam
#serbuan
#pemeriksaan
#Halal
#diragui
#MAQIS Kedah