Lagi 30 jenazah mangsa pemerdagangan manusia dikebumi

Astro Awani
Jun 29, 2015 10:31 MYT
Kesemua 30 jenazah disemadikan di satu liang lahad. - fotoBERNAMA
Kesemua 30 jenazah mangsa pemerdagangan manusia etnik Rohingya di Kem Wang Kelian, Perlis selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Tualang di Jabi, Pokok Sena, Kedah kira-kira jam 5.30 pagi tadi.
Proses pengebumian fasa kedua ini membabitkan sejumlah 28 jenazah lelaki dan wanita sekaligus menjadikan baki jenazah yang masih menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar sebanyak 55.
Kesemua jenazah yang dibawa dengan trak polis dari HSB tiba di tapak perkuburan itu tepat jam 4 pagi.
Jenazah itu kemudiannya disemadikan di satu liang lahad.
Bagaimanapun, jenazah wanita diasingkan mengikut nombor rujukan yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Difahamkan, pengurusan jenazah dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) bersama MKN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, proses pengebumian kesemua jenazah itu turut disaksi kira-kira 20 warga Rohingya.
#jenazah #pemerdagangan manusia #Rohingya
;