Lafaz Rukun Negara bakal 'bergema' di sidang Dewan Rakyat mulai esok
Astro Awani
Februari 26, 2024 21:50 MYT
Februari 26, 2024 21:50 MYT
KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya, lafaz ikrar Rukun Negara akan dilaksanakan pada persidangan Dewan Rakyat, mulai Selasa.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata ia bertujuan memupuk semangat perpaduan sekali gus menjauhi kebencian serta perkauman dalam kalangan rakyat.
"Ini adalah sebahagian usaha susulan kelulusan Jemaah Menteri pada 25 Julai lalu agar Rukun Negara dilafazkan penuh bermula mukadimah," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Aaron Ago menambah, dalam negara berbilang kaum dan budaya seperti Malaysia, keharmonian antara rakyat adalah kunci kepada kemajuan dan kestabilan.
Justeru, katanya adalah penting untuk setiap individu menghayati dan mengamalkan nilai dalam Rukun Negara.Ia adalah langkah konkrit dalam menyatukan hati dan minda rakyat.
"Saya menyeru semua rakyat bersama menyokong inisiatif ini dengan penuh semangat dan kesungguhan. Melalui usaha bersama, kita dapat menjadikan Malaysia sebagai contoh kepada dunia dalam memupuk perpaduan menerusi kepelbagaian.
"Marilah kita bersama-sama melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan dan tekad untuk membangunkan negara harmoni, sejahtera dan bertamadun bagi semua," ujarnya.
Sementara itu, Aaron berkata, matlamat pelaksanaan lafaz Rukun Negara itu bagi memperkukuh perpaduan melalui kesedaran kolektif terhadap nilainya.
"Selain itu, ia dapat memperkukuh ikatan sosial antara semua lapisan masyarakat, sekali gus membentuk masyarakat lebih bersatu padu dan saling menghormati.
"Pelaksanaan itu juga mengetengahkan matlamat untuk menghakis kebencian serta rasisme dengan menggalakkan pemahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian budaya dan kepercayaan di Malaysia.
"Melalui bacaan lafaz ikrar ini, kita menegaskan komitmen untuk menghormati perbezaan dan bekerjasama sebagai bangsa yang maju.
"Matlamat pelaksanaan ini juga ialah pemimpin sebagai teladan. Sebagai pemimpin tidak mengira politik, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberi teladan baik dalam mengamalkan nilai perpaduan dan keharmonian.
"Dengan berdiri bersama dalam bacaan lafaz ikrar, kita menunjukkan kepada rakyat bahawa perpaduan adalah landasan utama untuk kejayaan negara," katanya lagi.