LADA sokong ujian tambahan COVID-19 ke atas pelancong asing
Adie Sufian Zulkefli
Disember 4, 2021 10:27 MYT
Disember 4, 2021 10:27 MYT
LANGKAWI: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menyokong tindakan kerajaan melakukan ujian saringan tambahan COVID-19 ke atas pelancong asing di bawah gelembung pelancongan antarabangsa.
Katanya, langkah itu diyakini akan memastikan pulau peranginan itu bebas daripada varian yang membimbangkan (VOC) Omicron.
Menerusi saranan kerajaan, pelancong perlu menjalani ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) pada hari ketiga dan kelima ketika berada di Langkawi.
“LADA juga berharap penerbangan terus perlu disekat bagi negara yang mempunyai kes Omicron.
“Melalui cara ini dapat memastikan Langkawi bebas daripada COVID-19,” katanya menurut kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporatnya.
Pada Jumaat, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan terdapat satu kes varian Omicron melibatkan seorang pengembara bukan warganegara berusia 19 tahun.
Individu itu merupakan pelajar di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak, tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 Nov lalu.
Susulan itu, semua pengembara yang tiba di Langkawi untuk gelembung pelancongan antarabangsa perlu menjalani ujian pengesanan RTK-Ag COVID-19 secara profesional.
Setakat ini, lapan buah negara yang tidak dibenarkan masuk ke Langkawi adalah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.
Selain itu, pelancong yang berada dalam tempoh 14 hari di negara yang mempunyai kes varian Omicron juga tidak dibenarkan masuk ke Langkawi.