LADA sasar kehadiran 300,000 pelancong sempena LIMA'23
Bernama
Mei 11, 2023 04:03 MYT
Mei 11, 2023 04:03 MYT
ALOR SETAR: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menyasarkan kehadiran kira-kira 300,000 pelancong ke Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA'23) serta acara sampingan lain yang akan berlangsung dari 23 hingga 27 Mei ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Sektor Perancangan dan Pembangunan) LADA Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin berkata LIMA merupakan acara yang dinanti-nantikan oleh pelancong domestik dan antarabangsa khususnya pertunjukan udara oleh pasukan daripada pelbagai negara serta pameran statik.
"Persiapan akhir penganjuran LIMA'23 kini giat dilakukan dan selaku Pengerusi Sekreteriat Infrastruktur dan Kebersihan LIMA, LADA berperanan memastikan penyediaan fasiliti utama iaitu dewan pameran dan pengurusan hal ehwal kebersihan bagi acara berprestij ini dapat berfungsi dengan baik sepanjang ia berlangsung.
"LADA dengan gandingan kerjasama pelbagai agensi tempatan seperti Pejabat Daerah Langkawi, Majlis Perbandaran Bandaraya Pelancongan Langkawi, SWCorp, Ibu Pejabat Polis Langkawi, Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta lain-lain, akan memastikan persediaan rapi dilaksanakan bagi kelancaran LIMA'23," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau berkata sebahagian acara sampingan sempena LIMA'23 telah diadakan seperti Langkawi Ultra pada 6 hingga 7 Mei lepas.
Sementara itu, Wan Kamarul Faisal berkata Langkawi dijangka menerima 790,000 pelancong pada suku ketiga tahun ini.
Menurutnya setakat April lepas, sejumlah 200,337 pelancong tiba di pulau peranginan tersebut iaitu meningkat berbanding 108,000 pelancong pada bulan sama 2022.
"Pihak kami juga menyasarkan sebanyak 21 peratus pelancong yang tiba ke Langkawi pada tahun ini adalah pelancong antarabangsa. Oleh itu, LADA giat melaksanakan promosi di peringkat antarabangsa dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Tourism Malaysia," katanya.
Beliau berkata agensi itu juga akan terus memperkemas strategi promosi domestik dan antarabangsa bagi memastikan sasaran 3.2 juta pelancong pada tahun ini dapat dicapai.
Dalam pada itu, Wan Kamarul Faisal memberitahu Langkawi juga bakal berhadapan dengan misi penilaian semula status Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) pada Julai ini.
Katanya selaku agensi yang bertanggungjawab ke atas pengurusan LUGGp, LADA telah membuat persiapan awal sejak tahun lepas bagi memastikan Langkawi dapat mengekalkan status kad hijau buat kali keempat dalam penilaian oleh wakil Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
"Lebih 100 kriteria penilaian telah ditetapkan dan LADA yakin Langkawi bersedia menghadapinya. Pengiktirafan ini akan memberi nilai tambah kepada Langkawi yang telahpun dikenali sebagai pusat rujukan Geopark Asia Pasifik sekali gus menaikkan imej pulau ini di mata dunia," katanya.
-- BERNAMA