LADA sasar 2.5 juta pelancong ke Langkawi tahun ini
Ridauddin Daud
Ogos 29, 2020 14:59 MYT
Ogos 29, 2020 14:59 MYT
Pulau Langkawi sering menjadi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara untuk bercuti, maka tidak hairanlah saban tahun jumlah pengunjung ke Pulau Legenda itu mencecah jutaan orang.
Begitupun, apabila COVID-19 mula 'menyerang' negara pada Februari, industri pelancongan di destinasi itu terjejas teruk di mana setakat Julai tahun ini, jumlah pelancong hanya sekitar 1.1 juta orang.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dr Hezri Adnan berkata, mereka menyasarkan kehadiran 2.5 juta pelancong ke Pulau Langkawi meskipun industri pelancongan di pulau itu terjejas teruk akibat COVID-19.
“Pada Januari tahun ini, pelancong ke Langkawi lebih 377,000 orang, satu rekod baru juga tapi memandagkan ada sekatan perjalanan, sehingga Julai 2020, kita baru dapat 1.1 juta pengunjung ke Langkawi.
“Tapi kita lihat pada bulan Julai ada kenaikan yang mendadak. Pada Julai ada 189,000 pengunjung ke Langkawi.
“Sasaran kita kalau dapat kekalkan sekitar 200,000 pengunjung ke Langkawi pada setiap bulan, InsyaAllah kita boleh dapat capai sasaran pengunjung ke Langkawi lebih kurang 2.5 juta orang,” ujarnya katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kempen promosi Langkawi Great Sales di sini pada Sabtu.
Menurut Hezri lagi, jumlah itu sebenarnya agak jauh berbeza daripada tahun lepas yang merekodkan kehadiran 3.92 juta pengunjung yang juga merupakan rekod baharu bagi kawasan tersebut.
Tambah beliau, pihaknya kini giat mempromosikan program Langkawi Great Sales yang menawarkan pelbagai tawaran menarik dalam usaha menarik lebih ramai pelancong tempatan ke pulau berkenaan.
“Pasaran di Langkawi ada 50 peratus tempatan dan 50 peratus antarabangsa. Jadi apabila ada situasi sebegini, kita harus tumpukan promosi domestik dan itulah apa kita lakukan hari ini.
“Kita khuatir kalau nombornya (jumlah pengunjung) sekitar 1.2 ke 1.3 juta orang, maksudnya tak banyak wang berkitar di Langkawi, ini akan menjejaskan pendapatan penduduk,” ujarnya.
Jelasnya, sekiranya jumlah pelancong kekal pada angka lebih 200,000 sebulan, beliau optimis sasaran 2.5 juta pelancong dapat dicapai.
Kempen promosi Langkawi Great Sales akan dilaksanakan bermula 1 September 2020 hingga 31 Disember 2020 yang melibatkan semua pemain industri pelancongan di pulau berkenaan.
Empat pakej utama akan ditawarkan dengan potongan harga yang istimewa kepada pelancong domestik iaitu Honeymoon Package, Family Package, Group Package (Leisure) dan Group Package (MICE).
Selain itu, sepanjang promosi diadakan, sebanyak 18 kedai bebas cukai akan menawarkan pemberian baucar tunai sebanyak RM10 bagi setiap RM300 dan tawaran lain seperti potongan harga sehingga 50 peratus dan pembelian dengan pembelian (purchase with purchase).
#antarabangsa
#cukai
#domestik
#Dr Hezri Adnan
#koronavirus
#LADA
#Langkawi
#Lembaga Pembangunan Langkawi
#Media
#pelancong
#pelancongan
#promosi
#pulau