LADA harap sekitar 200,000 pelancong dalam sebulan pada 2021
Abdul Hadi Che Awang
Disember 24, 2020 12:32 MYT
Disember 24, 2020 12:32 MYT
LANGKAWI: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menharapkan agar kehadiran pelancong ke pulau peranginan itu sekurang-sekurangnya mencecah angka 200,000 pengunjung dalam masa sebulan bagi tahun 2021.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Hezri Adnan menyatakan jumlah itu penting dalam mewujudkan persekitaran ekonomi yang sihat kepada pemain industri khususnya dalam sektor pelancongan selain memastikan kelangsungan perniagaan di Pulau Langkawi.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, pihak LADA masih berdepan dengan ketidakpastian dalam meletakkan sasaran sebenar pengunjung ke Langkawi pada tahun 2021 susulan penularan wabak COVID-19 yang masih belum berakhir selain beberapa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tambahnya, jika sasaran 200,000 hingga 250,000 pengunjung dapat dicapai setiap bulan pada tahun hadapan, ia sekali gus akan menjadikan jumlah sebenar pelancong ke Langkawi adalah sekitar 3 juta orang.
Jumlah itu menurut Hezri, merupakan peningkatan sekali ganda daripada jumlah pengunjung yang dicatatkan pada bulan Januari hingga Oktober tahun ini iaitu pada paras 1.5 juta pengunjung.
"Saya kira secara dasarnya, kalaulah Langkawi boleh dapat sekitar 200,000 orang setiap bulan secara purata, ia cukup untuk break even point bagi kebanyakan perniagaan. Mungkin tak sesuatu yang mewah tapi ia cukup. Sebab tu saya sasarkan, apabila dengan Langkawi Great Sale (dengan pelbagai promosi) itu (banyak membantu).
"Kalau pada Oktober (2020) lebih kurang 200,000 pengunjung, kalau boleh sekarang ini dapat 250,000 orang, maka boleh dapat lebihan yang dapat memanfaatkan masyarakat di sini," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Hezri menyatakan bahawa pihaknya memerlukan masa yang lebih panjang dalam memastikan sektor pelancongan pulih sepenuhnya khususnya di Pulau Langkawi, dan tahun 2021 boleh dijadikan permulaan dalam mencapai matlamat berkenaan.
Sebelum ini, Hezri menyatakan bahawa sektor pelancongan domestik di Langkawi yang terkesan akibat pandemik COVID-19, kembali bernafas selepas banyak pesawat melibatkan empat laluan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) dengan purata 20 pesawat tiba setiap hari.
Jelasnya, perubahan positif itu dijangka dapat menjadikan jumlah sasaran yang ditetapkan pihak LADA iaitu sebanyak 250,000 pengunjung yang berkunjung ke Langkawi bagi bulan Disember 2020 dapat dicapai.
#ekonomi
#Langkawi
#pelancongan
#pelancong
#COVID-19
#sektor pelancongan
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#Hezri Adnan
#LADA