LADA dinobatkan Lembaga Pelancongan Kerajaan Terkemuka Anugerah ATH
Bernama
Mac 18, 2023 04:21 MYT
Mac 18, 2023 04:21 MYT
KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dinobatkan sebagai Lembaga Pelancongan Kerajaan Terkemuka Tahun Ini pada Anugerah Pelancongan dan Hospitaliti Asia (ATH) 2022-2023 atas usahanya menjadikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia tersohor.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin berkata pengiktirafan itu menyemarakkan lagi semangat organisasi itu untuk memanfaatkan segala peluang, bermatlamat memacu industri pelancongan di Langkawi.
"Kami sangat gembira menerima anugerah berprestij ini. Diiktiraf di hadapan rakan seperjuangan dan pemain industri merupakan satu motivasi kepada kami untuk terus berusaha demi menaikkan lagi Langkawi.
"Kami percaya kami berada di landasan yang betul dalam matlamat kami memastikan Langkawi menjadi destinati pelancongan utama di dunia," katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut kenyataan itu, LADA menjangkakan pelbagai peluang untuk pembangunan perniagaan dan pelancongan selepas ini, antaranya Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA 2023) yang akan berlangsung pada 23-27 Mei ini.
"Prospek tidak berakhir di situ kerana LADA akan turut menganjurkan edisi Routes Asia seterusnya pada Februari tahun depan. Kedua-dua acara ini akan menjadi platform dialog antara pemain industri bagi pembangunan perniagaan serta menjadi pemangkin untuk pemulihan ekonomi di pulau itu," menurut kenyataan tersebut.
Edisi sulung Anugerah ATH yang diadakan di Le Meridien, di sini, Jumaat, dianjurkan oleh TIN Media bersama Persatuan Sumber Manusia Hospitaliti Asia (AHHRA), adalah bagi meraikan semangat daya tahan dan kecemerlangan, mengiktiraf inovasi perniagaan dan penyumbang luar biasa industri.
-- BERNAMA