Labuan rekod 98 peratus anak penyu yang dieram dilepaskan ke laut
Bernama
Februari 10, 2017 14:37 MYT
Februari 10, 2017 14:37 MYT
Usaha bersepadu untuk meningkatkan populasi penyu di sini menyaksikan kira-kira 98 peratus daripada 10,450 biji telur penyu yang dieram menetas dan dilepaskan ke laut bagi tempoh 2011-2015.
Pengarah Jabatan Taman Laut Labuan Anuar Deraman berkata sepanjang tempoh itu, Pulau Rusukan Besar yang menjadi tumpuan penyu karah (Eretmochelys imbricata) dan penyu hijau (Chelonia mydas), merekodkan 4,857 telur.
Sebanyak 3,506 telur direkodkan di Pulau Rusukan Kecil, lebih 2,200 telur di Pulau Kuraman dan 231 biji di Kiansam iaitu taman laut yang tidak diwartakan, katanya kepada Bernama di sini.
"Amnya peratusan hidup telur yang dieram meningkat setiap tahun sejak 2011. Usaha kami untuk memulihara penyu dengan menetaskan telur mereka serta melepaskan anak penyu ke laut sejak lima tahun lalu adalah berjaya," katanya.
Beliau juga berkata sekurang-kurangnya 20 sarang dikesan setiap tahun dengan purata tiga penyu mendarat di empat pantai.
"Tapak pendaratan yang strategik tanpa hakisan pantai antara faktor peningkatan bilangan penyu yang datang bertelur," katanya.
Pada masa sama, Anuar berkata kawasan taman air berkenaan dipantau rapi oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bagi mengesan sebarang kegiatan haram, sekali gus menyumbang kepada usaha pemuliharaan penyu terbabit.
-- BERNAMA