Labuan perlu ada sumber air alternatif atasi isu bekalan - Fadillah
Bernama
Januari 21, 2024 18:57 MYT
Januari 21, 2024 18:57 MYT
LABUAN: Labuan perlu memiliki sumber air alternatif dan mengurangkan kebergantungan bekalan air pada tanah besar Sabah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata sumber air alternatif ini amat penting untuk penyelesaian jangka panjang kepada cabaran bekalan air di pulau bebas cukai itu.
"Memandangkan gangguan bekalan air berlaku sekali-sekala dari tanah besar Sabah, Labuan mesti ada sumber air baharu.
"Saya telah mengadakan perbincangan mengenai hala tuju pembangunan projek bekalan air di Labuan untuk mengenal pasti sumber baharu yang boleh mengurangkan kebergantungan pada Sabah.
"Langkah strategik ini akan memastikan bekalan air yang lebih stabil dan terjamin untuk seluruh pulau," katanya kepada pemberita selepas melawat projek penggantian paip di tangki agihan air utama di Pulau Enoe di sini hari ini.
Labuan menerima bekalan air daripada Loji Rawatan Air Lawa Gadong di Beufort, Sabah melalui saluran paip bawah laut sepanjang 25.7 kilometer (km) ke tangki agihan utama air di Pulau Enoe.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam berkata kerja-kerja penggantian paip air yang sedang dijalankan bertujuan menyelesaikan kebocoran, namun berdepan cabaran termasuk keperluan tenaga kerja tambahan dan kontraktor yang boleh dipercayai.
"Penyelesaian kepada isu air di Labuan akan mengambil masa, dan kita komited untuk menangani aspek teknikal terlebih dahulu ... kita akan menggantikan paip pecah secara sistematik dan berusaha ke arah penyelesaian jangka sederhana dan panjang," katanya.
Beliau berkata peruntukan telah diluluskan untuk penggantian paip agihan utama sepanjang 1.5 km di Pulau Enoe yang dijangka siap pada 2025.
Dalam Belanjawan MADANI 2024, peruntukan sebanyak RM300 juta disediakan untuk memudah cara kerja-kerja pembaikan dan penggantian paip air di Pulau Enoe dan Bukit Kalam menjelang suku kedua tahun ini.
-- BERNAMA