Label Pemuda UMNO gengster, Ramkarpal, Ahli Parlimen pertama diarah keluar Dewan

Hafiz Marzukhi
Julai 18, 2018 16:50 MYT
Arahan tersebut dikeluarkan selepas Ramkarpal Singh enggan tarik balik label 'gengster' yang digunakannya terhadap Pemuda UMNO. - Astro AWANI
Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh dari DAP menjadi Ahli Parlimen pertama diarah keluar dari Dewan Rakyat pada sidang Parlimen ke-14.
Arahan tersebut dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof selepas Ramkarpal enggan menarik balik label 'gengster' yang digunakannya terhadap Pemuda UMNO.
Atas sebab itu, Mohamad Ariff mengeluarkan perintah dibawah Peraturan Mesyuarat 44(2).
Walau bagaimanapun, beliau tidak memberikan perincian berhubung tempoh penggantungan Ramkarpal.
Pada sesi pagi, Dewan Rakyat kecoh selepas Ramkarpal menggunakan perkataan 'gengster' terhadap Pemuda UMNO yang didakwa terlibat dalam pergaduhan dengan bapanya, mendiang Karpal Singh beberapa tahun lepas.
Atas sebab itu, Datuk Seri Ismail Said (BN - Kuala Krau) lantas bangun untuk mendesak Ramkarpal agar menarik balik kenyataannya.
Dalam pertengkaran tersebut yang melibatkan beberapa lagi Ahli Parlimen dari Kerajaan dan Pembangkang, Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN - Kinabatangan) turut diminta menarik balik perkataan samseng kepada RSN Rayer (PH - Jelutong) ketika ucapannya.
Pada sesi tersebut, Timbalan Yang DIpertua Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon bersetuju untuk memberi amaran kepada Ramkarpal serta Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN - Kinabatangan) dan mengarahkan mereka untuk menarik balik penggunaan perkataan kurang sopan dari ucapan masing-masing.
Apabila sidang Dewan Rakyat bersambung di sebelah petang, Bung Moktar bertindak menarik balik perkataan samseng.
Namun, Ramkarpal enggan berbuat demikian yang menyebabkan Mohamad Ariff mengambil tindakan untuk mengarahkannya keluar dewan.
#Bukit Gelugor #Bung Moktar #DAP #Dewan Rakyat #Ismail Said #Mohamad Ariff Md Yusof #Ramkarpal Singh #samseng
;