Label halal palsu: Kerajaan harus proaktif bongkar kes rasuah babitkan penjawat awam - Salahuddin

Hafizi Rosli
Disember 24, 2020 12:47 MYT
SALAHUDDIN: "Saya juga harap kerajaan lebih proaktif dalam menggali lubang rasuah dan salah laku yang membarah di dalam agensi kerajaan untuk memastikan kejadian yang sama tidak berulang kembali." - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Susulan pendedahan sindiket penipuan daging halal di Johor baru-baru ini, kerajaan digesa lebih proaktif dalam membongkar kes rasuah dan salah saku membabitkan penjawat awam.
Perkara itu disuarakan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga mahu hukuman setimpal dijatuhkan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
"Saya mendesak pihak berautoriti untuk memberi hukuman setimpal ke atas penjenayah yang terlibat.
"Saya juga berharap agar kerajaan lebih proaktif dalam menggali lubang rasuah dan salah laku yang membarah di dalam agensi kerajaan untuk memastikan kejadian yang sama tidak berulang kembali," katanya.
Salahuddin juga menuntut penjelasan daripada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung perkara itu.
Awal bulan ini, media melaporkan sebuah gudang syarikat daging sejuk beku di Taman Perindustrian Senai, Johor Bahru, diserbu pihak berkuasa hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan menyeludup daging sejuk beku.
Kartel berkenaan dipercayai menjadikan sebuah gudang di Senai sebagai lokasi membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula.
BACA: SPRM buka kertas siasatan isu kartel daging import guna label halal palsu
BACA: Henti beri pandangan isu daging seludup - Jakim
Salahuddin berkata, Zulkifli harus memberi penjelasan berhubung dakwaan wujud penyalahgunaan kuasa di peringkat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menguruskan sijil halal itu.
"Isu ini jelas membangkitkan persoalan berkenaan integriti agensi terbabit dalam pembangunan industri halal negara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam masa sama, beliau yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani turut menggesa agar kerajaan mengambil serius kes-kes keselamatan makanan dengan memperhalusi, memantau dan menilai garis panduan kemasukan makanan.
Ia bagi memastikan setiap makanan yang dipasarkan selamat dan mengikut ketetapan, tambahnya.
#maqis #daging halal #penjawat awam #Rasuah #Hukuman #Salahuddin Ayub #kartel #pengimportan daging #Johor #Senai #JAKIM #kerajaan #sindiket #hukuman setimpal
;