LAB sediakan konsultasi undang-undang percuma kepada orang ramai

Afiezy Azaman
Disember 31, 2023 11:30 MYT
Daniel berkata, LAB adalah komitmen firma Tetuan Yusfarizal, Aziz & Zaid untuk memberikan akses konsultasi perundangan kepada orang awam yang memerlukan.
KUALA LUMPUR: Kos yang tinggi melibatkan konsultasi undang-undang menyebabkan orang ramai sering tidak berjaya untuk mendapatkan perkhidmatan guaman.
Atas sebab itu, Biro Bantuan Guaman (LAB) melalui projek sosial korporatnya berusaha meningkatkan akses orang ramai kepada keadilan melalui pelbagai aktiviti.
Ia termasuk menyediakan konsultasi undang-undang secara percuma kepada masyarakat, menurut Pengasas Bersama LAB Daniel Baharudin.
Katanya, LAB adalah komitmen firma Tetuan Yusfarizal, Aziz & Zaid (YAZ) untuk memberikan akses konsultasi perundangan kepada orang awam yang memerlukan.
"LAB memahami konsultasi undang-undang, apatah lagi bantuan undang-undang, sering tidak berjaya diperolehi oleh orang awam berikutan kos yang tinggi.
"Misi YAZ dan LAB adalah untuk merapatkan jurang ini serta membolehkan konsultasi undang-undang diakses oleh semua, tanpa mengira status kewangan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Daniel berkata, pasukan profesional di LAB komited untuk menyediakan bantuan undang-undang yang berkualiti, sama ada berkaitan pertikaian sivil atau jenayah.
"Untuk makluman lanjut, orang awam yang berminat boleh mendaftarkan diri dan memilih slot sesi konsultasi undang-undang percuma, melalui kod bar yang disediakan," ujarnya.
#Biro Bantuan Guaman #konsultasi undang-undang #bantuan undang-undang #perkhidmatan guaman
;