KWSP umum perincian i-Sinar 18 Nov ini

Bernama
November 14, 2020 16:36 MYT
i-Sinar merupakan lanjutan daripada pengeluaran i-Lestari yang kini dijangka mencecah amaun pengeluaran sebanyak RM30 bilion dan akan berakhir Mac 2021. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengumumkan perincian bagi kemudahan akses ke Akaun 1 ahli KWSP yang dikenali sebagai i-Sinar, pada 18 November ini.
KWSP dalam kenyataan hari ini berkata i-Sinar, yang kini sedang dimuktamadkan perinciannya, diwujudkan hasil konsultasi yang mendalam bersama-sama dengan pihak berkepentingan agar ahli yang terkesan dapat mengharungi cabaran semasa dan pada masa sama memastikan kesejahteraan masa depan persaraan mereka.
"KWSP yakin bahawa amaun yang boleh diakses daripada i-Sinar berserta amaun maksimum RM500 sebulan daripada Akaun 2 melalui kemudahan i-Lestari (dilancarkan pada April 2020), dapat membantu ahli yang terkesan menampung keperluan mereka dalam jangka masa pendek," katanya.
BACA: Kerajaan sedia perluas kelayakan pengeluaran Akaun 1 KWSP - Menteri Kewangan
i-Sinar merupakan lanjutan daripada pengeluaran i-Lestari yang kini dijangka mencecah amaun pengeluaran sebanyak RM30 bilion dan akan berakhir Mac 2021.
Permohonan i-Sinar boleh dibuat bermula Disember 2020 dan amaun yang diakses akan dikreditkan ke akaun bank pemohon bermula Januari 2021.
-- BERNAMA
#KWSP #i-sinar #akaun 1 #18 november #RM500 #i-lestari #Pengeluaran akaun 1 KWSP
;