KWSP umum pelantikan Ahmad Zulqarnain sebagai CEO baharu
Astro Awani
Januari 26, 2024 17:54 MYT
Januari 26, 2024 17:54 MYT
KUALA LUMPUR: Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melantik Ahmad Zulqarnain Onn sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi tersebut berkuatkuasa 19 Februari depan.
Kenyataan itu hadir selepas Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan peletakan jawatan Ahmad Zulqarnain yang merupakan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan tersebut pada Jumaat.
Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, Ahmad Zulqarnain akan menggantikan Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang telah dilantik sebagai Menteri Kewangan II.
Menerusi satu kenyataan pada Jumaat, beliau berkata, dengan pengalaman korporatnya yang luas, kepimpinan Ahmad Zulqarnain yang dinamik bakal memacu KWSP ke tahap baharu.
“Seluruh pasukan KWSP akan memastikan peralihan yang lancar dan meletakkan keyakinan penuh terhadap kepimpinan dan hala tuju strategik Ahmad Zulqarnain dalam memenuhi misi KWSP bagi melindungi masa depan persaraan dan kesejahteraan 15.9 juta ahli KWSP.
“KWSP mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada Ahmad Zulqarnain atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP yang baharu.
“Kita turut turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Senator Datuk Seri Amir Hamzah di atas khidmatnya dalam melakar hala tuju kejayaan agensi,” menurut kenyataan tersebut.
Ahmad Zulqarnain mempunyai pengalaman korporat yang luas serta memegang beberapa jawatan penting dalam institusi seperti CEO Danajamin Nasional Berhad selain Timbalan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Harvard.