KWSP tetapkan amaun minimun setiap ahli menjelang usia 55 tahun

Astro Awani
Disember 26, 2013 08:45 MYT
Berkuatkuasa Januari 2014, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menetapkan RM196,800 sebagai amaun minimun yang perlu ada dalam akaun setiap ahli menjelang umur 55 tahun.
Pengurus Besar, Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata kadar baru itu ditetapkan menerusi semakan semula Simpanan Asas.
Nik Affendi berkata kadar baharu ini ditanda aras dengan pencen minimum pekerja sektor awam bersamaan RM820 sebulan untuk tempoh 20 tahun dari umur 55 hingga 75 tahun.
Katanya, amaun mininum akan disemak setiap tiga tahun berdasarkan kepada keperluan persaraan, kadar inflasi dan kos hidup.
“Dengan mengambil kira faktor kos hidup yang semakin meningkat, jangka hayat rakyat Malaysia yang panjang serta kadar inflasi, KWSP telah membuat keputusan meningkatkan Simpanan Asas untuk memastikan 13 juta ahlinya mempunyai tahap simpanan yang mencukupi bagi menikmati persaraan yang mampan," katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Nik Affendi berkata Simpanan Asas semasa ialah RM120,000 pada umur 55 iaitu RM500 sebulan bagi tempoh 20 tahun mungkin tidak mencukupi untuk menampung persaraan ahli kerana berada di bawah garis kemiskinan.
Statistik KWSP menunjukkan sebanyak 71 peratus ahli bersara pada umur 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 adalam akaun mereka.
Katanya, bagi membolehkan ahli layak menyertai Skim Pelaburan Ahli KWSP dimana ia boleh dilaburkan dalam unit amanah, mereka perlu mempunyai simpanan yang lebih tinggi dalam akaun mereka
“Ini untuk memastikan ahli mempunyai simpanan yang mencukupi dalam akaun KWSP apabila mereka bersara bagi membiayai keperluan asas persaraan sebelum boleh memilih untuk melabur dalam pelaburan lain,” katanya.
Ahli diingatkan untuk mengenal pasti selera risiko dan objektif pelaburan mereka sebelum menyertai mana-mana skim.
"Ahli juga boleh merujuk kepada perunding profesional daripada penasihat yang berkelayakan atau perancang kewangan kerana risiko dan struktur skim itu berbeza daripada KWSP," katanya lagi.
Antara inisiatif yang diperkenalkan oleh KWSP untuk meningkatkan simpanan persaraan ahli adalah kadar caruman majikan sebanyak 13 peratus untuk pekerja yang bergaji RM5,000 dan ke bawah, kadar caruman penuh KWSP untuk pekerja sehingga umur 60 tahun; dan Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun yang membenarkan ahli untuk memanjangkan simpanan KWSP mereka bagi tempoh yang lama.
Selain itu, sebagai usaha untuk membantu ahli merancang persaraan mereka, KWSP akan memperkenalkan perkhidmatan penasihat kewangan kepada ahli mulai tahun hadapan dengan projek perintis di Lembah Klang sebelum diperluaskan ke seluruh negara dalam tempoh tiga tahun.
#Kumpulan Wang Simpanan Pekerja #Nik Affendi Jaafar