KWSP: Tarik balik cadangan penyelarasan umur pengeluaran - Dr Najmil
Astro Awani
April 16, 2015 16:24 MYT
April 16, 2015 16:24 MYT
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu melihat cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk meminda had umur pengeluaran simpanan persaraan kepada 60 tahun berbanding 55 tahun dengan alasan hampir 70 peratus ahlinya menghabiskan wang tersebut dalam tempoh lima tahun, dianggap sebagai alasan yang tidak masuk akal.
Ketuanya, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, ia tidak wajar memandangkan kos sara hidup yang kian meningkat tahun demi tahun.
"Kita tidak bersetuju dengan cadangan KWSP untuk meyelaraskan umur pengeluaran simpanan KWSP dari usia 55 tahun ke 60 tahun.
"KWSP sepatutnya terlebih dulu perlu mendapatkan padangan dan persetujuan bersama para pencarum dan pihak berkepentingan yang lain, sebelum mencadangkan mengenai isu kenaikan had umur tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, agensi itu yang sedang menimbang menyelaraskan umur pengeluaran simpanan persaraan ahlinya hampir kepada usia persaraan 60 tahun.
Kata Shahril, negara perlu menangani isu pengeluaran simpanan pada usia 55 tahun berbanding usia persaraan baharu pada 60 tahun, jika tidak ia akan menjadi bebanan kepada masyarakat untuk menguruskan orang-orang yang bersara tanpa wang yang mencukupi dalam akaun mereka.
Shahril memetik kaji selidik bebas yang dijalankan oleh pakar ekonomi serta penyelidikan dalaman KWSP yang menunjukkan rata-rata orang cenderung untuk menghabiskan simpanan persaraan mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas membuat pengeluaran penuh.
Bagaimanapun, dalam catatan di laman Facebook KWSP, mereka menyifatkan tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi berhubung pelaksanaan isu pengeluaran umur 55 tahun yang dicadangkan dinaikkan ke 60 tahun.
Sebelum ini, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Armand Azha Abu Hanifah melihat cadangan itu sebagai tidak munasabah dan tidak disukai rakyat.
Dalam pada itu kata Dr Najmil, pihak berkenaan perlu melihat perkara yang dicadangkan mesti mengambil kira kepentingan dan keutamaan rakyat.
"Ia perlu mendapat persetujuan semua memandangkan jumlah ahli KWSP meningkat setiap tahun dan ini ia mempunyai 14.192 juta ahli dengan 6.659 juta ahli aktif.
"Ini sekali gus menyaksikan KWSP menerima caruman yang tinggi dengan mencecah RM4.76 bilion sebulan atau keseluruhan RM57.17 bilion pada tahun lalu.
"Jadi sepatutnya sebarang cadangan yang berhubung kait dengan pencarum dan pihak berkepentingan perlu mendapat pandangan dari golongan ini terlebih dulu," jelasnya.
Sehubungan itu, Dr Najmil memohon KWSP menarik balik semula cadangan dan berbincang dengan para pencarum sebelum sebelum sebarang keputusan yang bakal dilaksanakan demi menjaga kepentingan rakyat.