KWSP selamatkan saya dari disekat ke luar negara oleh Imigresen - Pencarum
Bernama
November 17, 2016 17:10 MYT
November 17, 2016 17:10 MYT
Kaedah pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi akaun kedua banyak memberi manfaat dan kemudahan kepada para pencarum.
Bagi Khairunissaa Abdul Rahim, 28, seorang eksekutif kewangan di sebuah syarikat swasta, menerusi simpanan akaun kedua KWSP miliknya, beliau mampu membayar tunggakan pinjaman pendidikan dari Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam masa yang singkat dan mudah.
"Pada mulanya saya agak 'gelabah' kerana hampir disenarai hitam oleh pihak yang memberi pinjaman dari pergi ke luar negara kerana gagal membayar tunggakan pinjaman pendidikan kira-kira RM10,000.
"Tunggakan itu terjadi disebabkan saya tidak mendapat sebarang surat amaran daripada pihak berkenaan kerana saya telah berpindah dan surat itu dihantar ke alamat rumah lama," katanya kepada Bernama.
Beliau hanya menyedari namanya hampir disenaraihitamkan dari melakukan lawatan ke luar negara ketika ingin menyemak status di laman web Jabatan Imigresen ketika ingin ke Bangladesh dua tahun lalu atas urusan pekerjaan.
"Saya berterima kasih kepada pihak KWSP kerana banyak membantu saya dalam menyelesaikan tunggakan tersebut dan akhirnya saya dapat ke Bangladesh sebaik sahaja pihak Imigresen mengenyah senarai saya dari disekat ke luar negara," katanya.
Khairunissaa menjelaskan untuk membayar balik pinjaman pendidikan menerusi akaun kedua KWSP, peminjam perlu membuka i-Akaun KWSP di mana-mana pejabat atau kios KWSP.
"Di situ kita boleh mendaftar menggunakan cap jari dan kad pengenalan dan aktifkan i-Akaun di laman web www.kwsp.gov.my dalam masa 30 hari," katanya.
Katanya, pencarum kemudian boleh terus berjumpa kakitangan PTPTN di mana-mana pejabat atau kaunter PTPTN bagi berbincang jumlah tunggakan yang perlu diselesaikan.
Selesai perbincangan, kakitangan akan memaklumkan dalam masa seminggu, KWSP akan menghantar status permohonan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).
"Pencarum juga perlu ke pejabat KWSP berdekatan untuk hantar skrol tamat pengajian dalam masa dua minggu dan jika semuanya sudah disahkan, petugas PTPTN akan menyerahkan dokumen pengesahan permohonan pengeluaran (KWSP) dalam masa 15 minit.
"Dalam masa tidak sampai sebulan pihak PTPTN akan menghantar surat kepada pencarum pengeluaran telah dikeluarkan bagi pembayaran tunggakan berkenaan," kata Khairunissaa.
Sementara itu, jurutera R&D Sime Darby, Syed Mohd Hadi Syed Hilmi, 30, berkata pengeluaran akaun kedua bagi pembiayaan pembelian kediaman banyak membantu pencarum memiliki rumah sendiri sebelum bersara.
Jika sebelum ini pencarum hanya dibenarkan membuat pengeluaran selepas bersara, kini mereka mempunyai pilihan untuk membeli rumah sendiri sebelum pencen dan sekali gus memudahkan mereka menikmati hari persaraan mereka di rumah sendiri yang tentunya lebih selesa," katanya.
Bagaimanapun beliau turut mengingatkan, adalah lebih baik sekiranya para pencarum menabung dari awal bagi membeli kediaman sendiri daripada mengharapkan wang simpanan KWSP.
"Ini kerana pada pendapat saya, wang itu adalah lebih baik digunakan sepenuhnya pada hari tua nanti, kerana pada waktu itu kita sudah tidak mempunyai kudrat untuk mendapatkan sumber kewangan lain bagi menampung kehidupan," katanya. -- Bernama