KWSP rekod RM33.19 bilion pendapatan pelaburan pada separuh pertama 2023

Shaznina Rozman
Ogos 15, 2023 12:40 MYT
Pertumbuhan pendapatan pelaburan yang positif dan usaha berterusan KWSP dalam menyokong ahli memberi harapan yang tinggi kepada kestabilan dan kesejahteraan ekonomi negara. - Foto fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion bagi separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2023 (1H 2023).
Jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak RM9.44 bilion, berbanding RM23.75 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2022.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, jumlah ini adalah selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk tempoh tersebut.
"Daripada jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion, RM4.79 bilion mewakili keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan", tambah beliau.
Keuntungan MTM disumbangkan oleh turun naik pertukaran matawang asing.
Selain itu, pelaburan ekuiti adalah penyumbang utama pendapatan bagi suku kedua (S2 2023) dengan RM9.60 bilion.
Penurunan nilai kos ke atas ekuiti tersenarai adalah polisi dalaman yang diamalkan oleh KWSP ke atas pelaburan ekuiti tersenarainya sebagai langkah berhemah untuk memastikan portfolionya kekal sihat.
Justeru itu, turun nilai kos bagi S2 2023 adalah secara relatifnya minima pada RM0.35 bilion, berbanding RM2.15 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama 2022.
Amir Hamzah berkata, ketangkasan dan kebolehsuaian KWSP dalam strategi pelaburannya membuka ruang kepada pengurus pelaburan untuk memanfaatkan peningkatan pasaran, sekaligus menyumbang kepada pulangan yang lebih tinggi daripada ekuiti dalam tempoh tersebut.
“Bagi Malaysia, pertumbuhan KDNK sebanyak 5.6 peratus pada suku tahun pertama 2023 telah melangkaui jangkaan, didorong khususnya oleh permintaan domestik yang kukuh dan peningkatan dalam pasaran buruh,
"Pertumbuhan yang berdaya tahan telah meredakan keadaan kewangan yang ketat, seterusnya memberikan ruang kepada pasaran modal domestik," tambahnya.
Aset KWSP mencatatkan pertumbuhan kukuh di sebalik pendapatan lebih tinggi yang dijana daripada pelaburannya serta caruman bersih yang diterima.
Sehingga Jun 2023, aset pelaburan KWSP berjumlah RM1,082.45 bilion, di mana 38.6 peratus daripadanya dilaburkan dalam pelaburan luar negara.
KWSP juga komited kepada program perlindungan sosial menggalakkan ahli menambah simpanan secara sukarela, KWSP menyediakan akses kepada kemudahan jaminan pendapatan lain yang berkualiti seperti i-Sayang, termasuklah inisiatif i-Lindung.
i-Lindung adalah di bawah Pelan Perlindungan Ahli di mana ahli boleh membeli produk insurans untuk mengurangkan impak kewangan sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
KWSP terus memantapkan usaha dengan menambah baik aplikasi KWSP i-Akaun kepada lebih canggih.
Ini bertujuan untuk menyediakan kemudahan untuk merancang persaraan dengan lebih jelas dan yakin dengan meningkatkan pengalaman pelanggan dengan menggabungkan teknologi terkini, ciri-ciri peribadi, keselamatan yang dipertingkatkan, dan bertujuan meningkatkan pengetahuan kewangan agar pengguna dapat membuat keputusan yang lebih termaklum mengenai kewangan mereka.
Pertumbuhan pendapatan pelaburan yang positif dan usaha berterusan KWSP dalam menyokong ahli serta merancang masa depan kewangan mereka memberi harapan yang tinggi kepada kestabilan dan kesejahteraan ekonomi negara dalam tempoh yang akan datang.
#KWSP #pelaburan #Malaysia #simpanan
;