KWSP lancar e-Payroll, bantu majikan urus dan rekod gaji secara digital
Astro Awani
Jun 18, 2021 11:25 MYT
Jun 18, 2021 11:25 MYT
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan e-Payroll, penambahbaikan terhadap portal i-Akaun (Majikan), bagi membantu dan mempermudahkan urusan termasuk caruman KWSP, secara digital.
Menurut Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, pihaknya sedar kepentingan digitalisasi dan situasi pandemik COVID-19 mendorong untuk mengadaptasi teknologi digital dengan pantas serta lebih tepat.
Katanya, inisiatif itu sejajar dengan objektif KWSP membantu majikan, khususnya Perusahaan Kecil Sederhana (PKS), memenuhi tanggungjawab mereka terhadap pekerja, di samping melancarkan operasi syarikat.
"Perkhidmatan e-Payroll ini dibangunkan khas untuk membantu PKS yang menggunakan i-Akaun (Majikan) yang tidak mempunyai sistem penggajian atau kemampuan kewangan untuk menggunakannya.
"Di KWSP, kepentingan ahli sentiasa diutamakan dalam setiap pendekatan yang kami ambil, di samping inisiatif berterusan dalam meningkatkan tahap perkhidmatan yang memberi manfaat kepada majikan dan pekerja," katanya pada majlis pelancaran e-Payroll secara maya, pada Jumaat.
Sistem e-Payroll KWSP memberikan penekanan terhadap pengiraan automatik bagi pemotongan dan caruman berkanun kepada badan-badan berkanun.
Sistem e-Payroll dibangunkan dengan kerjasama dan diperakui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp).
Tambah Ahmad Badri, KWSP akan terus berkembang untuk kekal relevan dalam era kemajuan teknologi yang pesat serta perubahan yang dinamik dalam landskap pekerjaan.