KWSP kekal kukuh dengan strategi pelaburan seimbang
Nabilah Khaleeda
Mac 4, 2025 13:00 MYT
Mac 4, 2025 13:00 MYT
KWSP terus menunjukkan prestasi kukuh dalam mengimbangi portfolio pelaburannya. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus menunjukkan prestasi kukuh dalam mengimbangi portfolio pelaburannya di dalam dan luar negara, sekali gus memastikan pulangan kompetitif kepada ahlinya.
Ringkasan AI
- KWSP menunjukkan prestasi kukuh dalam mengimbangi portfolio pelaburannya di dalam dan luar negara, memastikan pulangan kompetitif kepada ahlinya.
- Pemilikan saham dalam syarikat strategik dan pertumbuhan ekonomi domestik yang mampan membantu mengekalkan kestabilan pelaburan KWSP.
- Penekanan terhadap Alokasi Aset Strategik (SAA) dan kepekaan terhadap pergerakan ekonomi antarabangsa penting untuk memastikan pulangan konsisten dan melindungi modal pokok pencarum.
Menurut Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, kejayaan KWSP dalam mengekalkan kestabilan pelaburan diperkukuhkan oleh pemilikan saham dalam syarikat strategik, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan entiti awam.
Faktor ini, bersama pertumbuhan ekonomi domestik yang mampan, telah mendorong keuntungan berganda dalam pelbagai industri, khususnya sektor perbankan.
"Pelaburan atau pegangan saham KWSP dalam beberapa syarikat strategik amat membantu.
"Pada tahun 2024, kita melihat keadaan ekonomi negara yang mampan dengan banyak syarikat mencatatkan keuntungan tinggi, terutama dalam sektor perbankan," katanya.
Selain itu, penekanan terhadap Alokasi Aset Strategik (SAA) juga penting bagi mengekalkan pulangan konsisten dan melindungi modal pokok pencarum.
Strategi ini bukan hanya bergantung kepada perubahan nilai ringgit atau keuntungan tukaran mata wang asing, tetapi juga pendekatan berhemah dalam menyesuaikan pelaburan antara pasaran tempatan dan antarabangsa.
"KWSP mempunyai strategi yang baik dalam keluar masuk pasaran dan mengimbangi risiko pelaburan.
"Selain itu, dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3 peratus turut membantu kestabilan kewangan domestik," jelasnya lagi.
Dengan separuh pendapatan pelaburan KWSP berpunca daripada pasaran global, kepekaan terhadap pergerakan ekonomi antarabangsa perlu menjadi keutamaan.
"KWSP harus sentiasa peka terhadap perubahan pasaran global dan bekerjasama dengan rangkaian pelaburannya di luar negara untuk mengenal pasti arah pasaran serta mengambil tindakan yang sesuai," ujarnya ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Selasa.
Strategi holistik ini bukan sahaja mengukuhkan daya tahan KWSP dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran tetapi juga memastikan pulangan mampan kepada lebih 15 juta pencarum.