KWSP jalin kerjasama dengan Grab bagi galakkan rakan pemandu, penghantar membuat simpanan persaraan
Bernama
September 7, 2021 13:47 MYT
September 7, 2021 13:47 MYT
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Grab Malaysia (Grab) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menggalakkan komuniti rakan pemandu dan penghantar mereka menabung untuk simpanan persaraan melalui program i-Saraan bagi ahli yang berumur bawah 55 tahun atau caruman sukarela bagi yang berumur 55 dan ke atas.
MoU ini adalah kesinambungan daripada MoU yang telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak pada Ogos 2018.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata dana persaraan itu amat berharap agar komuniti rakan pemandu dan penghantar Grab mendaftar sebagai ahlinya dan membuat simpanan untuk tabung persaraan mereka, sama ada melalui program i-Saraan atau caruman sukarela.
"Bukan sahaja ini dapat membantu mereka membuat persediaan persaraan, malah mereka juga akan mendapat manfaat sebagai ahli KWSP, antaranya dividen tahunan ke atas simpanan, pelepasan cukai dan bantuan lain kepada ahli," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Grab Malaysia Sean Goh berkata Grab komited untuk memberikan peluang sama rata untuk mengakses mata pencarian baharu dan juga membantu mengatasi pengangguran dengan menggalakkan pendapatan tambahan melalui ekonomi digital - terutama bagi mereka yang berkeadaan unik, seperti orang kurang upaya dan pesara.
Beliau menambah berikutan pandemik, terdapat penambahan pendaftaran yang mendadak untuk menjadi rakan pemandu dan penghantar, dengan lebih 50,000 orang menyertai platform ini.
"Mereka bekerja keras setiap hari untuk menampung diri dan keluarga, dan ini mendorong kami untuk memberikan yang terbaik.
"Disebabkan itu, kami akan membuat caruman tambahan sebanyak 10 peratus untuk rakan kami yang berumur 55 tahun ke atas yang menyertai skim caruman sukarela dan juga rakan OKU.
Kami percaya bahawa kerjasama ini merupakan langkah yang baik, yang mana kerjasama pihak awam dan swasta dapat menggalakkan pegangan kewangan yang akan seterusnya mengukuhkan kedudukan kewangan rakyat Malaysia," beliau kata.
Menerusi MoU itu, Grab akan memberi insentif seperti caruman tambahan sebanyak lima peratus sehingga maksimum RM80 setiap tahun kepada rakan pemandu dan penghantar yang berumur bawah 55 tahun yang mencarum melalui program i-Saraan KWSP.
Rakan pemandu dan penghantar berumur 55 tahun ke atas yang mencarum melalui program caruman sukarela KWSP, caruman tambahan sebanyak 10 peratus sehingga maksimum RM120 setiap tahun ditawarkan oleh Grab.
Syarikat e-hailing itu turut menawarkan caruman tambahan sebanyak 10 peratus sehingga maksimum RM120 setiap tahun kepada rakan pemandu dan penghantar yang dikenal pasti sebagai orang kurang upaya (OKU) bagi semua peringkat umur yang mencarum melalui i-Saraan atau program caruman sukarela KWSP.
i-Saraan ialah caruman sukarela yang membolehkan individu yang bekerja dalam ekonomi gig dan yang bekerja sendiri menabung untuk simpanan persaraan mereka melalui caruman di KWSP.
Mereka yang mencarum dalam i-Saraan akan menerima insentif kerajaan sebanyak 15 peratus berdasarkan jumlah caruman individu setahun, sehingga maksimum RM250 setahun sementara di bawah program caruman sukarela pula, individu boleh mencarum sendiri pada bila-bila masa sehingga RM60,000 setahun.
-- BERNAMA