KWSP akan tingkatkan pelaburan dalam kelas aset domestik tahun ini

Bernama
Mac 3, 2022 01:38 MYT
Amir Hamzah berkata aset luar negara KWSP merupakan penyumbang penting kepada prestasi secara keseluruhannya. - Gambar fail DagangNews
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyasarkan untuk meningkatkan pelaburan dalam pelbagai kelas aset domestik pada 2022 sejajar dengan pembukaan semula ekonomi dan perniagaan di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sebagai pelabur utama dalam pasaran kewangan Malaysia, ini akan membantu memacu aktiviti ekonomi dan membantu dalam pemulihan ekonomi.
"Kami percaya bahawa pembukaan semula ekonomi dan perniagaan serta pelbagai inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Negara, akan menyediakan landasan yang baik kepada KWSP untuk meningkatkan kecekapan pelaburannya dan memanfaatkan peluang daripada pemulihan," katanya pada taklimat media mengenai prestasi kewangan 2021 KWSP di sini semalam.
Amir Hamzah berkata data dalaman KWSP menunjukkan bahawa pasaran buruh kembali pulih, dengan data caruman, pendaftaran ahli dan majikan aktif semuanya kembali kepada tahap sebelum pandemik pada suku keempat 2021.
"Dengan sempadan antarabangsa akan dibuka semula dan kadar vaksinasi antara yang terbaik di dunia, Malaysia dijangka pulih pada 2022," katanya.
Bagi prestasi 2021, Amir Hamzah berkata pemulihan pasaran yang berterusan, terutamanya di pasaran maju, menyumbang kepada portfolio ekuiti tersenarai KWSP, memberi peluang kepadanya untuk merealisasikan keuntungan.
"Ekuiti, terutamanya ekuiti senaraian asing, yang mencatatkan pulangan pelaburan (ROI) sebanyak 10.44 peratus, terus menjadi pemacu pulangan. Jumlah pendapatan yang disumbangkan oleh kelas aset ekuiti sebanyak RM38.93 bilion atau 58 peratus daripada jumlah pendapatan kasar KWSP.
"Portfolio ekuiti persendirian turut menunjukkan prestasi yang kukuh, mencatatkan ROI sebanyak 19.01 peratus," katanya.
BACA: Prestasi cemerlang KWSP pada 2021 perkukuhkan lagi reputasinya - Ahli ekonomi
BACA: Simpanan 2.6 juta pencarum KWSP kurang RM1,000 - KWSP
BACA: KWSP umum dividen 6.10 peratus bagi tahun 2021
Dengan hampir separuh daripada jumlah peruntukan aset KWSP dalam instrumen pendapatan tetap, yang terdiri daripada sekuriti kerajaan Malaysia dan setara, serta pinjaman dan bon, katanya dana persaraan itu mampu mengekalkan pulangan yang stabil.
Pendapatan daripada portfolio itu menyumbang RM19.50 bilion atau 29 peratus daripada jumlah pendapatan kasar KWSP.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata aset luar negara KWSP merupakan penyumbang penting kepada prestasi secara keseluruhannya, apabila kelas aset, pasaran dan mata wang yang berbeza memberikan kestabilan pendapatan dan nilai tambah kepada pulangan dana persaraan itu secara keseluruhannya.
"Sehingga Disember 2021, sebanyak 37 peratus daripada aset pelaburan KWSP berada di luar Malaysia dalam semua kelas aset," katanya.
Aset pelaburan secara keseluruhannya meningkat 0.8 peratus kepada RM1.01 trilion daripada RM1 trilion pada 2020 manakala asas keahlian sehingga Disember 2021 naik 2.0 peratus kepada 15.2 juta manakala majikan yang berdaftar dengan KWSP berjumlah 553,000.
Dengan purata tiga tahun dividen sebenar selepas diselaraskan untuk inflasi sebanyak 4.91 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.51 peratus bagi Simpanan Syariah, katanya KWSP telah melepasi sasaran strategiknya untuk mengisytiharkan purata dividen sebenar sekurang-kurangnya 2.0 peratus dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.
"Pembayaran dividen untuk setiap simpanan adalah daripada jumlah pendapatan direalisasi kasar bagi tahun tersebut selepas ditolak susut nilai bersih ke atas aset kewangan, kos penurunan nilai ke atas ekuiti tersenarai, kerugian tidak direalisasi akibat kadar pertukaran asing, harga derivatif, perbelanjaan pelaburan, perbelanjaan operasi, caj berkanun serta dividen bagi pengeluaran," katanya.
-- BERNAMA
#Amir Hamzah Azizan #pelaburan #pemulihan ekonomi #KWSP