KWPKB menawarkan pembangunan semula pangsapuri dan rumah
Vilashiiney Panneerselvam
Mac 29, 2013 19:56 MYT
Mac 29, 2013 19:56 MYT
Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) telah mengadakan sebuah Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada penduduk bagi projek pembangunan semula pangsapuri dan rumah kos rendah Sri Johor, Sri Pulau Pinang , Sri Melaka dan rumah-rumah di Taman Ikan Emas, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Surat tawaran tersebut akan diserahkan kepada penduduk mulai hari ini sehingga esok oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada 5,669 pemilik dan penyewa.
Majlis penyerahan surat ini telah dirasmikan oleh Menteri KWPKB , Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan dihadiri oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dan Ketua Setiausaha KWPKB, Datuk Adnan Md Ikshan.
Terdapat tiga kategori surat tawaran yang dikeluarkan, iaitu surat tawaran kepada penyewa, surat tawaran kepada pemilik satu bilik dan surat tawaran kepada pemilik dua bilik.
Surat tawaran yang dikemukakan kepada penyewa merupakan surat tawaran untuk mereka membeli satu unit rumah gantian tiga bilik dengan keluasan 800 kaki persegi pada harga RM28,000. Jike mereka menolak tawaran pembelian tersebut, mereka boleh terus menyewa unit rumah dengan DBKL setelah rumah tersebut siap dibina.
Bagi pemilik (satu bilik), mereka ditawarkan seunit rumah 3 bilik (800 kaki persegi) sebagai gantian unit rumah sedia ada. Sekiranya mereka menolak tawaran unit rumah tersebut, mereka boleh memilih untuk menjual unit rumah yang dimiliki kepada DBKL pada harga RM140,000.
Bagi pemilik (dua bilik), mereka ditawarkan seunit rumah 3 bilik yang berkeluasan 800 kaki persegi sebagai gantian unit rumah sedia ada serta insentif tambahan dalam bentuk wang tunai berjumlah RM14,000. Sekiranya mereka menolak tawaran tersebut, mereka boleh memilih untuk menjual unit rumah yang dimiliki kepada DBKL pada harga RM154,000.
Bayaran akan dilaksanakan setelah unit rumah baru siap dibina.
Nong Chik berkata seluruh projek ini akan mengambil masa tujuh tahun untuk selesai sebelum semua penduduk boleh pindah ke rumah baru mereka.
“Kesemua rumah akan mengambil masa selama tujuh tahun untuk siap dibina, tetapi fasa pertama atau blok pertama akan mengambil masa hanya tiga tahun,” beliau berkata.
Pemilik dan penyewa perlu mengembalikan borang persetujuan yang disertakan bersama surat tawaran kepada Pejabat Kecil Kawasan sebelum 15 April 2013.
Hasil sebuah bancian yang dilaksanakan tahun lepas menunjukkan sebanyak 4,645 penduduk bersetuju dengan cadangan pembangunan ini.
Nong Chik berkata, “ Hampir 80% penduduk telah bersetuju dengan pembangunan ini dan oleh kerana tanah ini dimiliki oleh DBKL projek ini akan diteruskan.”
Presiden SP Setia Bhd, Tan Sri Liew Kee Sin berkata, penduduk-penduduk yang terlibat dalam projek ini tidak perlu berpindah ke tempat lain semetara menunggu pembinaan selesai.
“Kita akan membina fasa pertama yang mempunyai 1,500 unit dahulu, kemudian 1,500 keluarga akan dipindahkan ke blok baru itu. Blok yang mereka duduki akan dirobohkan dan blok baru akan dibina. Dengan ini penduduk tidak perlu berpindah,” Liew berkata.
Reaksi penduduk
Hemawathi berumur 50 tahun,seorang penduduk yang telah menduduki di flat Sri Johor selama tujuh tahun berkata, beliau sangat gembira dengan projek ini kerana dapat berpindah ke rumah yang lebih besar.
“Saya sangat gembira sebab kami semua sudah duduk ini sini lama, rumah kami semakin buruk, lagi pun kami sudah tua susah untuk naik tangga,” Hemawathi berkata.
Norisnah Bt Ishak berumur 61, seorang penghuni Sri Melaka untuk 30 tahun pula berkata, “Kami amat-amat mengalukan projek ini. Selama ini kami duduk di rumah dua bilik sahaja, sekarang kami sekeluarga dapat duduk di rumah tiga bilik.”
“Rumah sebesar 800 kaki persegi dengan harga yang murah siapa tidak mahu,” Norisnah bertambah.