KWP timbang wujud Datuk Bandar Incorporated - Annuar Musa

Bernama
Januari 29, 2021 17:40 MYT
Annuar berkata beberapa akta baharu juga perlu diperkenal dan dipinda antara lain bertujuan mengatasi kekangan perundangan bagi tujuan tersebut. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan mempertimbang bagi mewujudkan Datuk Bandar Incorporated untuk memudahkan pelaksanaan dan pembangunan projek di sekitar ibu negara.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata badan tersebut berfungsi untuk mentadbir pengurusan aset dan pelaburan milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam melaksanakan aktiviti berunsur perniagaan.
Beliau berkata beberapa akta baharu juga perlu diperkenal dan dipinda antara lain bertujuan mengatasi kekangan perundangan bagi tujuan tersebut.
“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur boleh mewujudkan (Datuk Bandar Incorporated) seperti MB Incorporated yang ditubuhkan di beberapa negeri.
“Ia bagi membolehkan Datuk Bandar (Kuala Lumpur menjalankan projek) usaha sama secara biasa sekali gus mempercepat proses pembaharuan bandar,” katanya dalam program bual bicara anjuran KWP disiarkan secara langsung di Facebooknya hari ini.
Program bual bicara itu dianjurkan sempena Majlis Pelancaran Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kuala Lumpur yang dilancarkan Annuar secara maya.
Mengulas mengenai Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kuala Lumpur, Annuar berkata 30 kawasan telah dikenal pasti untuk dibangunkan semula antaranya Perumahan Awam (PA) Sri Negeri Sembilan dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Labuan.
Beliau berkata pembaharuan semula dilaksanakan bagi menjamin kualiti hidup yang lebih baik dalam kalangan warga kota dengan mendiami kediaman lebih besar, relevan dan selesa.
“Menerusi pembaharuan ini mereka juga akan memiliki kediaman baharu yang mempunyai nilai aset lebih baik pada masa depan tanpa bebanan kos tambahan,” katanya.
Annuar berkata kerajaan juga menawarkan beberapa insentif bagi menggalakkan penglibatan pihak swasta dalam projek itu yang terbukti memberi manfaat kepada masyarakat seperti yang pernah dilaksanakan di Residensi Kerinchi.
-- BERNAMA
#Annuar Musa #DBKL #Kementerian Wilayah Persekutuan #KWP #Datuk Bandar Incorporated #Dewan Bandaraya Kuala Lumpu #Kuala Lumpur #pelaburan
;