KWP rancang kaji semula dasar 'hakis' status pulau bebas cukai Labuan - Shahidan
Bernama
Disember 1, 2021 15:12 MYT
Disember 1, 2021 15:12 MYT
LABUAN: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) merancang untuk mengkaji semula dasar-dasar yang telah menjejaskan keistimewaan dan menghakis sedikit sebanyak status bebas cukai Labuan.
Menterinya Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, langkah itu penting bagi memastikan kemakmuran dan kegemilangan Labuan sebagai pulau bebas cukai yang mesti dilawati seperti sebelum ini dapat dikembalikan semula.
"Labuan tidak mempunyai banyak tempat menarik yang boleh dijadikan ikon pelancongan menarik, tetapi status bebas cukainya boleh tonjolkan Labuan sebagai destinasi menarik untuk dikunjungi.
"Untuk merealisasikan matlamat ini, ada dasar-dasar yang kita harus kaji semula yang memungkinkan status bebas cukai Labuan terhakis dan tidak ada keistimewaannya lagi," katanya kepada ahli-ahli Persatuan Penggiat Media Labuan semasa menerima kunjungan hormat mereka di pejabatnya di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur baru-baru ini.
Shahidan berkata KWP mahu Labuan kembali sebagai destinasi membeli-belah terkenal di rantau ini dengan barangan pengguna berjenama terdapat di pulau ini pada harga yang murah.
"Kita mahu ini dapat direalisasikan, dasar-dasar yang menghalang matlamat ini akan dikaji dan diperbetulkan.
"Untuk Labuan kembali sebagai destinasi membeli-belah dengan harga barangan yang murah, kita harus memastikan penghantaran kargo terus ke Labuan dan tidak melalui pelabuhan lain," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, pelbagai projek dan program turut dirancang untuk menarik kehadiran lebih ramai pengunjung, sekali gus meningkatkan semula ekonomi Labuan.
"Kemudahan dan pembangunan infrastruktur harus juga diutamakan dalam kita berusaha menarik pengunjung," katanya.
Seramai 13 orang pengamal media dari Labuan mengikuti lawatan itu yang terdiri daripada wartawan dan jurukamera Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), RTM Labuan, Jabatan Penerangan, portal berita tempatan Borneo Bulletin, Sea Hua Daily News, Daily Express, Sabah360 Online, Asia Times serta pegawai Jabatan Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi Strategik, Perbadanan Labuan.
Sebelum itu, rombongan media Labuan itu berkesempatan berkunjung ke Pulau Langkawi untuk lawatan ke tapak geopark Kilim Geoforest Park.
-- BERNAMA