KWP lancar Rumah Prihatin@Grand Seasons untuk golongan memerlukan

Khairunnisa Kasnoon
Julai 15, 2021 06:16 MYT
Kementerian Wilayah Persekutuan melancarkan Rumah Prihatin@Grand Seasons, yang menawarkan lima komponen utama kepada penerimanya.
KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melancarkan Rumah Prihatin@Grand Seasons, yang menawarkan lima komponen utama kepada penerimanya.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan inisiatif tersebut berjaya dirancang walaupun dalam waktu yang singkat.
Lima komponen utama tersebut melibatkan Dapur Prihatin iaitu dapur berpusat dijangka akan menyediakan 1000 pek makanan setiap hari untuk diedarkan kepada golongan yang tidak berkemampuan, barisan hadapan, gelandangan serta fakir miskin.
Kedua, Khidmat Kesihatan Mental Prihatin yang memainkan peranan dalam isu kesihatan mental di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dengan mewujudkan khidmat kaunseling bersama kaunselor berdaftar yang dijamin kerahsiaannya.
"Khidmat kaunseling bagi menguruskan beban kewangan turut disediakan," ujarnya.
Seterusnya yang ketiga, Bilik Penginapan Prihatin iaitu khidmat penginapan hotel 'Bayar Sekadar Mampu' (BSM) kepada golongan musafir, pelajar-pelajar dan individu-individu yang memerlukan tempat penginapan sementara.
Keempat, Khidmat Vaksinasi Prihatin iaitu perkhidmatan vaksinasi untuk golongan OKU, gelandangan, penjaja dan juga kepada mereka yang memerlukan bantuan khas daam usaha memperkasakan lagi Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Kelima, Pusat Gerakan Jejak Prihatin yang juga merupakan pusat gerakan sukarelawan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan MPP bagi menggerakkan usaha mencari golongan-golongan terkesan dari pintu ke pintu untuk untuk dihulurkan bantuan.
Annuar berkata, walaupun inisiatif ini bukanlah berasaskan keuntungan, beliau menekankan supaya khidmat yang diberikan mestilah khidmat yang berkualiti untuk warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Alhamdulillah hari ini KWP berjaya melancarkan Rumah Prihatin @ Grand Seasons KL walaupun inisiatif ini dirancang dalam waktu yg agak singkat. Kita di KWP komited untuk memainkan peranan dalam isu kesihatan mental, dan jg membantu mengurangkan kesempitan yg dialami warga WPKL pic.twitter.com/hvy46skNBI

— Annuar Musa (@AnnuarMusa) July 15, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Annuar Musa #KWP #kesihatan mental #Dapur Prihatin #dapur berpusat #pek makanan #fakir miskin #Bilik Penginapan Prihatin #Bayar Sekadar Mampu #gelandangan #Jejak Prihatin
;