KWP bakal runding dengan peniaga bagi turunkan harga ayam
Bernama
Julai 14, 2022 20:42 MYT
Julai 14, 2022 20:42 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan berunding dengan peniaga ayam di premis kementerian dan pihak berkuasa tempatan bagi mengurangkan masalah peniaga terbabit sekali gus membolehkan mereka menjual ayam pada harga lebih rendah daripada harga siling.
Menteri berkenaan Datuk Seri Shahidan Kassim berkata rundingan itu melibatkan peniaga di premis kementerian, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan.
"Harga siling ayam sekarang RM9.40 tetapi di negeri lain, ayam (secara purata) dijual lebih rendah daripada harga siling misalnya di Perlis RM9.04, paling rendah di Pahang RM8.95," katanya kepada pemberita selepas meninjau program Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah di Perumahan Awam (PA) Sri Johor hari ini.
Beliau berkata langkah itu merupakan antara pendekatan yang dicadang diambil kementerian dalam usaha meringankan beban warga Wilayah Persekutuan.
Shahidan berkata pihaknya sedang mengkaji beberapa langkah bagi mengatasi masalah itu dan akan mengumumkan pendekatan terbaik selewat-lewatnya minggu depan.
Beliau juga berkata jualan rakyat selama enam bulan bermula hari ini akan diadakan di semua PA dan Projek Perumahan Rakyat di ibu negara serta kedai terpilih di Labuan melibatkan peruntukan RM3.48 juta dengan menawarkan subsidi harga ayam sebanyak RM3 untuk seekor dan RM0.50 bagi setiap 10 telur ayam Gred B.
Beliau berkata pihaknya juga akan membantu memantau kedai makanan yang menawarkan sumber protein itu sebagai hidangan agar tidak menaikkan harga sesuka hati.
-- BERNAMA