Kuwait beri reaksi positif Malaysia beli pesawat tempur Hornet untuk TUDM

Astro Awani
Oktober 11, 2024 14:43 MYT
Mohamed Khaled (dua, kiri) pada Majlis Peluncuran Inisiatif Perajurit Broadband di Auditorium Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur pada Jumaat. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan Kuwait memberi maklum balas positif berhubung hasrat Malaysia dalam perolehan pesawat tempur jenis F/A-18 Legacy Hornet milik tentera udara negara Asia Barat itu.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, reaksi positif itu diterima pihaknya ketika pertemuan dua mata antara beliau dengan Timbalan Perdana Menteri Kuwait merangkap Menteri Pertahanan, Sheikh Fahad Yousef Saud Al-Sabah pada 9 Oktober lalu.
“Ada tanda positif berkenaan permintaan kita (Malaysia) untuk perolehan jet F/A-18 milik mereka sebanyak 39 tetapi kini tinggal 38 disebabkan sebuah lagi terlibat dalam kemalangan.
“Namun ia bergantung kepada dua perkara, pertama persetujuan daripada Kerajaan Amerika Syarikat sebagai pembekal dan kedua apabila Kuwait telah menerima pesawat baharu jenis ituyang dijangka sebelum akhir tahun depan.
"Kuwait tiada halangan dengan mereka mencadangkan kepada kita untuk menubuhkan jawatankuasa perbincangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Inisiatif Perajurit Broadband di Auditorium Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Dalam pada itu ketika disoal oleh pemberita berhubung kewajaran kerajaan membeli pesawat terpakai itu, Mohamed Khaled menegaskan rancangan perolehannya sudah bermula sejak 2018.
Mohamed Khaled turut menyifatkan langkah perolehan itu sebagai langkah tepat melihat kepada keperluan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menggantikan pesawat yang tamat fungsi.
"Untuk membeli sesebuah pesawat ia mengambil masa 10 tahun, kalau kita mahu beli sekali pun, perolehannya pada 2035. Sebab utama dalam pesawat itu ada macam-macam equipment, macam-macam peralatan, yang bukan datang dari satu syarikat.
"Kita kena pastikan ia sesuai untuk negara kita, dalam kemampuan kita, terkini dan sebagainya. Nak tempah itu akan ambil masa," katanya.
#Mohamed Khaled Nordin #pesawat terpakai #Kuwait #TUDM
;