Kutipan zakat Wilayah Persekutuan meningkat 13 peratus pada 2022

Bernama
Januari 26, 2023 15:32 MYT
Datuk Mohd Naim (tiga, kiri) bergambar selepas sidang media mengenai Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat Tahun 2022 di Kuala Lumpur, hari ini. - Gambar BERNAMA
PUTRAJAYA: Kutipan zakat harta dan zakat fitrah oleh Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) meningkat 13 peratus pada tahun lepas berbanding RM828.67 juta pada 2021.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata jumlah zakat harta yang dikutip pada tahun lepas RM923.28 juta, manakala bakinya RM13.75 juta zakat fitrah.
Jumlah pembayar zakat harta pada tahun lepas adalah 240,630 orang manakala zakat fitrah pula 1.59 juta orang dan ia menjadikan keseluruhan pembayar zakat di Wilayah Persekutuan pada tahun lepas meningkat 17 peratus iaitu seramai 1.83 juta orang berbanding 1.566 juta orang pada 2021, katanya.
"Peningkatan kutipan dan pembayar zakat ini atas beberapa faktor seperti kepelbagaian saluran bayaran zakat serta pelaksanaan promosi zakat secara berterusan dan meluas melalui pelbagai platform," katanya pada Pengumuman Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat Wilayah Persekutuan Bagi Tahun 2022, di sini, hari ini.
Daripada keseluruhan kutipan zakat pada 2022, Mohd Na'im berkata, zakat pendapatan menyumbang kutipan tertinggi sebanyak RM631 juta bersamaan dengan 67 peratus, diikuti zakat perniagaan sebanyak RM139 juta, dan bakinya seperti zakat wang simpanan, emas, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, saham dan fitrah.
Mohd Na'im berkata, kepercayaan masyarakat terhadap agihan zakat yang dilaksanakan oleh MAIWP juga antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kutipan zakat pada tahun lepas.
Sepanjang Januari hingga Disember tahun lepas, MAIWP telah mengagihkan RM855.52 juta dana zakat kepada 220,769 penerima asnaf menerusi pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan seperti menerusi skim bantuan zakat, institusi pendidikan dan kebajikan, prasarana umat Islam, belanja penyelanggaraan prasarana dan amil, katanya.
Mohd Na'im berkata, pada tahun ini, MAIWP menyasarkan keseluruhan kutipan zakat dan wakaf sebanyak RM1.02 bilion dengan jumlah bilangan pembayar 1.91 juta orang. - BERNAMA
#PPZ-MAIWP #kutipan zakat Wilayah Persekutuan #zakat harta #zakat fitrah
;