Kutipan zakat Pulau Pinang naik kepada RM121.48 juta tahun lepas

Bernama
Januari 13, 2020 05:46 MYT
Abdul Malik berkata, 37,059 orang menerima zakat tahun lepas, peningkatan 4.14 peratus berbanding 35,587 orang pada 2018. - Gambar fail
Kutipan zakat di Pulau Pinang meningkat 1.46 peratus kepada RM121.48 juta melibatkan 67,149 pembayar pada tahun lepas berbanding RM119.73 juta dengan 65,706 pembayar pada 2018.
Pengerusi Zakat Pulau Pinang (ZPP) Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata daripada jumlah itu, zakat harta mencatat peningkatan 1.34 peratus daripada RM114.83 juta pada 2018 kepada RM116.37 juta tahun lepas.
"Manakala zakat fitrah pula mencatatkan kutipan RM5.06 juta pada 2019 berbanding RM4.9 juta pada tahun sebelumnya iaitu peningkatan 3.23 peratus," katanya pada sidang media di sini, pada Isnin.
Beliau berkata kutipan zakat menerusi skim potongan gaji menunjukkan peningkatan 8.01 peratus kepada RM52.47 juta tahun lepas berbanding RM48.68 juta tahun terdahulu manakala kutipan zakat perniagaan pula menurun 23.74 peratus pada 2019 kepada RM25.34 juta berbanding RM33.23 juta pada 2018.
Menurut Abdul Malik, ZPP berjaya mengagihkan RM110.98 juta atau 91 peratus daripada jumlah kutipan zakat sepanjang tahun lepas berbanding RM103.76 pada 2018, peningkatan 6.96 peratus.
Abdul Malik, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang berkata, 37,059 orang menerima zakat tahun lepas, peningkatan 4.14 peratus berbanding 35,587 orang pada 2018.
"Alhamdulillah setiap tahun penerima bantuan zakat baharu juga meningkat, pada 2019 bilangan penerima zakat baharu 7,442 orang berbanding 6,963 orang pada 2018, peningkatan 6.88 peratus," katanya.
Sementara itu, Abdul Malik berkata ZPP yakin mampu mencapai sasaran kutipan zakat kira-kira RM130 juta tahun ini hasil usaha dan promosi giat yang dijalankan berkaitan pembayaran zakat di samping meningkatnya kesedaran umat Islam terhadap kewajipan menunaikan Rukun Islam ketiga itu.
"Pembayar zakat di Pulau Pinang juga akan menerima faedah Skim Kafalah Mahabbah bermula tahun ini dalam bentuk khairat kematian atau tabung sumbangan ikhlas kepada waris sekiranya pembayar zakat meninggal dunia. Ia boleh meningkatkan jumlah pembayar zakat dan meringankan beban waris," katanya.
-- BERNAMA
#Abdul Malik Abul Kassim #khairat kematian #kutipan zakat #mencapai sasaran #pembayar zakat #pulau pinang #Skim Kafalah Mahabbah #skim potongan gaji #zakat #zakat fitrah #zakat harta #Zakat Pulau Pinang #ZPP
;